Berita

DBKL peruntukkan RM127 juta ganti lif seluruh PPR/PA

ISMAIL (kanan) meninjau keadaan lif di Perumahan Awam (PA) Seri Perak hari ini.
- Diterbit 16 Oktober 2021 4:28 AM MYT

KERAJAAN memperuntukkan kira-kira RM127 juta untuk menggantikan lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) seluruh Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, projek ini akan bermula tahun hadapan selepas proses perolehan selesai dan membabitkan kira-kira 67 kawasan PPR dan PA seluruh ibu kota.

“Peruntukan tersebut membabitkan kos daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menggantikan lif-lif lama yang menjadi masalah terbesar di kediaman terbabit.

“Projek dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun,” katanya selepas program turun padang ke PA Seri Perak dekat Bandar Baru Sentul di sini hari.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Tambahnya, kerajaan memandang serius isu utama yang dihadapi penduduk-penduduk ini yang terpaksa berhadapan dengan masalah apabila kemudahan tersebut rosak.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas