Berita

DBKL pastikan bangunan baharu ikut Akta Orang Kurang Upaya 2008

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengutamakan kemudahan parkir kepada golongan OKU yang menduduki di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
- Diterbit 12 Ogos 2022 4:24 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) sentiasa memastikan bandar raya Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan prihatin terhadap keperluan warga Orang Kurang Upaya (OKU) yang merupakan sebahagian daripada warga kota yang perlu diberi perhatian.

Bercakap mengenai perkara tersebut, Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata tindakan itu dapat dibuktikan melalui perlaksanaan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berterusan bagi menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai bandar aksesibiliti dan mobiliti di Malaysia.

“Dalam usaha ini DBKL telah memastikan supaya setiap permohonan pembangunan yang dikemukakan untuk mematuhi Garis Panduan Rekabentuk Bebas Halangan, Garis Panduan Butiran Kemudahan Akses Bagi Orang Kurang Upaya, Garis Panduan Rekabentuk Sejagat di Alam Bina (MS1184:2014) serta Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685).

“Selain itu, pihak DBKL melalui Jabatan Kawalan Bangunan telah melakukan Audit Aksesibiliti Kemudahan OKU terhadap premispremis awam dan persendirian sedia ada bagi memastikan pematuhan terhadap MS1184:2014 oleh pemaju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi yang meminta kementerian menyatakan apakah tindakan bagi memastikan Wilayah Persekutuan sebagai bandar aksesibiliti dan mobiliti di Malaysia serta adakah DBKL akan meningkatkan dan mengetatkan denda maksima bagi penyalahgunaan kemudahan OKU di ibu kota di Dewan Negara pada Selasa.

Shahidan berkata sehingga Julai 2021 jumlah bangunan yang telah diaudit adalah sebanyak 116 buah yang meliputi bangunan residensi, bangunan komersil-hotel, Kompleks Perniagaan, Rumah kedai/pejabat serta kemudahan awam bersama bangunan seperti Jejantas Awam, Tempat Letak Kereta Awam, Kompleks Sukan dan Bangunan Sekolah.

Tambahnya, penguatkuasaan juga merupakan salah satu tindakan yang diambil bagi memastikan Wilayah Persekutuan sebagai bandar aksesibiliti dan mobiliti di Kuala Lumpur.

“Setakat ini, bagi kesalahan penyalahgunaan kemudahan OKU di ibu kota, DBKL masih lagi mengekalkan kadar denda yang sama,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas