Berita

DBKL pasang lebih 100 CCTV pantau Pasar Borong Kuala Lumpur

- Diterbit 23 November 2020 9:06 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan untuk menangani masalah warga asing yang menjalankan perniagaan di Pasar Borong Kuala Lumpur dengan memasang lebih 100 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, CCTV tersebut dilengkapi ciri Kecerdasan Buatan (AI) dengan teknologi pengecaman wajah bagi membolehkan pemantauan dan kawalan di sekitar pasar borong itu dibuat dengan lebih rapi.

“Kita dapati masih terdapat peniaga yang berniaga di tempat terlarang. Mereka berniaga secara curi-curi di siar kaki yang menghalang lalu lintas dan melibatkan peniaga dalam kalangan pendatang haram termasuk pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR).

“Bukan sahaja di dalam pasar borong, CCTV juga dipasang di sekeliling kawasan luar pasar borong untuk pemantauan penguat kuasa DBKL, kita akan terus perbaiki dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Mural dan Grafiti di pasar borong itu hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutan, Zaizalnizam Zainun.

Annuar berkata, beliau juga telah meminta kepada Datuk Bandar untuk meningkatkan lagi aspek penyelenggaraan dan keceriaan pasar borong ini.

“Saya hendak tengok ‘road kerb‘ di cat elok-elok, penutup longkang yang pecah dan nampak selekeh diganti supaya imej pasar borong berubah.

“Saya mahu lihat pasar borong di Kuala Lumpur ditranformasi dan tiada masalah ia dilaksanakan berperingkat-peringkat,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar turut menyampaikan hadiah tempat pertama dan kedua Pertandingan Mural dan Grafiti ‘Wall Battle‘ yang berlangsung di PBKL yang membawa pulang RM5,000 untuk hadiah tempat pertama dan RM3,000 untuk tempat kedua.

Bagi pemenang kategori Grafiti, Mohamad Fakhri Mohd Salleh mendapat tempat pertama dimenangi dan diikuti oleh Muhammad Abqari Ahmad Shakri di tempat kedua.

Untuk kategori Mural, Muhamad Akmal Thaqib Ibrahim mendapat tempat pertama dan diikuti Raden Hasbullah Radin Abu Bakar ditempat kedua.

Annuar yang juga Pengerusi YWP turut menyampaikan sumbangan kepada pekerja-pekerja PBKL yang kurang berkemampuan yang disumbangkan oleh YWP. WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas