Berita

DBKL lantik IKRAM kaji pergerakan tembok penahan di Jalan Selangat, Taman Pertama Cheras

SEBUAH rumah teres dua tingkat di Jalan Selangat, Taman Pertama, Cheras runtuh akibat pergerakan tanah yang berlaku pada awal pagi semalam. SEBUAH rumah teres dua tingkat di Jalan Selangat, Taman Pertama, Cheras runtuh akibat pergerakan tanah yang berlaku pada awal pagi semalam.
- Diterbit 23 Mei 2022 8:35 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melantik Institut Kerjaraya Malaysia (IKRAM) untuk menjalankan kajian bagi mencari punca sebenar kejadian pergerakan tembok penahan (Contiguous Bore Pile – CBP Wall) di projek pembinaan 1 blok pangsapuri perkhidmatan (service apartment) di Jalan Selangat, Taman Pertama, Cheras awal pagi semalam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, DBKL telah mengeluarkan Notis Berhenti Kerja (Stop Work Order) kepada pemaju dengan serta-merta dan mereka hanya dibenarkan menjalankan kerja-kerja membaikpulih sahaja dibenarkan sehingga keadaan di tapak kembali selamat.

“Kita dapati hampir 40 peratus atau hampir satu meter daripada keseluruhan penahan tembok sedia ada telah bergerak dan dianggarkan lebih 2,000 kubik meter tanah akan dibawa ke tapak untuk menstabilkan keadaan di kawasan tersebut.

“Oleh itu, pemaju akan menjalankan kerja-kerja pengukuhan tembok penahan dengan kaedah penyediaan tambakan tanah (earth berm) dan blok konkrit (concrete block) untuk tujuan pengukuhan,” katanya dalam sidang media di tapak kejadian di Taman Pertama, Cheras di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan Ketua Pegawai Eksekutif IKRAM, Datuk Mohd Taufik Haron.

Mahadi berkata, IKRAM yang dilantik sebagai juru perunding bebas akan menjalankan pemantauan serta kerja-kerja pengukuhan tembok penahan CBP Wall di kawasan terjejas.

“Ini termasuk menyemak semula rekabentuk tembok penahan yang disediakan oleh juru perunding pemaju bagi keseluruhan pembangunan tersebut.

“Pemaju turut diminta mengemukakan cadangan penyelesaian kekal bagi mengatasi isu-isu di tapak pembangunan.

“Pihak pemaju dikehendaki mengarahkan juru perundingnya untuk menyemak semula reka bentuk tembok penahan di keseluruhan tapak pembangunan,” katanya.

Dalam kejadian pada awal pagi semalam, sebuah rumah teres dua tingkat yang masih dalam peringkat pengubahsuaian telah runtuh serta enam buah rumah berdekatan telah di arah dikosongkan atas faktor keselamatan.

Penghuni rumah-rumah yang terlibat telah berpindah ke hotel berdekatan dan kos penginapan ditanggung oleh pihak kontraktor.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas