Berita

DBKL laksana Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat Kuala Lumpur 2022, peruntuk RM10 juta

- Diterbit 9 Mei 2022 8:55 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan kira-kira RM10 juta untuk melaksanakan 14 inisiatif interim bagi menangani masalah banjir kilat melalui Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat Kuala Lumpur 2022.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, pelan tindakan itu merupakan usaha DBKL dalam mengelakkan berlaku banjir kilat ketika hujan lebat seperti yang berlaku pada 25 April lalu dan sebelumnya.

“Pelaksanaan pelan tindakan ini adalah berpandukan kepada ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorolagi (MetMalaysia) dan akan dilaksanakan bermula bulan ini.

“Perkembangannya akan dilihat dalam tempoh tiga bulan iaitu sehingga Julai nanti,” katanya dalam sidang media Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat di Menara DBKL di sini hari ini.

Mahadi berkata, pihaknya telah menggariskan 14 inisiatif interim seperti yang terkandung di dalam pelan tindakan itu dan kesemuanya telah mula dilaksanakan bermula awal Mei lalu terutama di 25 kawasan hot spot banjir kilat di sekitar ibu negara.

“Antara langkah yang diambil adalah memastikan saluran keluar air larian ke longkang tepi jalan tidak tersumbat atau terhalang, menaik taraf semua longkang scupper; menempatkan bilangan jentera dan petugas DBKL yang mencukupi di lokasi strategik menempatkan 100 warden trafik; mengenal pasti laluan lencongan sementara; membina sump baru dan meletakkan guni pasir bermula 6 Mei lalu di kawasan rendah dekat tepi sungai sebelum tembok banjir dibina.

“Selain itu, DBKL turut melaksanakan kerja mengeluarkan kelodak di kolam takungan banjir Lorong Maarof, Jalan Travers dan UM, memastikan tangki On Site Detention (OSD) milik persendirian berfungsi dengan sempurna dan diselenggara baik, memastikan sungai, longkang monsun dan saluran air tidak dihalang sampah, akar pokok serta tumbuhan liar, menggunakan lebih banyak bahan meresap air iaitu Stone Mastic Asphalt untuk permukaan dan turapan jalan; menjadikan aktiviti pungut (plogging) sebagai rutin; mengisytiharkan lebih banyak kawasan Zon Bebas Sampah dan mengeluarkan mesej amaran banjir kilat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas