Utama

DBKL edar 45,000 helai Jalur Gemilang

DBKL EDAR
WARGA DBKL mengibarkan bendera pada Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berlangsung di Dataran Merdeka di sini hari ini. - FOTO: NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 16 Ogos 2019 5:47 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan Kemerdekaan yang hampir menjelang tiba, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengedarkan kira-kira 45,000 Jalur Gemilang kepada warganya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, pemasangan Jalur Gemilang juga akan dilakukan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) serta bangunan-bangunan milik DBKL termasuk agensi-agensi kerajaan berkaitan.

“Taklimat juga telah diberikan kepada pemilik dan penyewa bangunan di bandar raya Kuala Lumpur pada 7 dan 9 Ogos lalu.

“Pemilik-pemilik dan penyewa bangunan diminta untuk memberi kerjasama sepenuhnya dengan melaksanakan pengindahan serta pemasangan bendera di samping menyediakan pencahayaan di bangunan milik mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Saripuddin Kasim, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan pegawai-pegawai DBKL.

Menurut Khalid, sepanjang kempen Bulan Kemerdekaan ini, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan di peringkat parlimen oleh persatuan-persatuan penduduk mengikut zon masing-masing.

“Saya juga amat mengalu-alukan penyertaan warga kota dari pelbagai kaum supaya sambutan kemerdekaan ini dapat meningkatkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, maka sambutan Bulan Kemerdekaan ini sangat penting supaya perpaduan dapat dipupuk sekali gus merapatkan hubungan antara kaum di Malaysia” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas