Berita

Dasar MRSM: SRAI sambut baik keputusan kekal

Gambar hiasan SRAI Shah Alam
- Diterbit 6 September 2021 3:44 AM MYT

JAWATANKUASA Permuafakatan Yang Dipertua PIBG Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Selangor sambut baik keputusan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid yang mengekalkan syarat asal permohonan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Menurut Yang Dipertua PIBG SRAI Seksyen 19, Shah Alam Selangor, Taqiyuddin Amini Abdul Satar berkata, tindakan berkenaan bukan hanya membatalkan perubahan pada syarat yang diumumkan baru-baru ini, malah membuka kembali ruang buat semua pelajar tanpa mengira aliran termasuk mengekalkan kuota 10 peratus untuk bukan bumiputera.

“Ia bukti Yang Berhormat Menteri cakna rakyat, juga bersesuaian dengan semangat ‘keluarga Malaysia’ yang digagaskan Perdana Menteri.

“Kami terhutang budi dengan Majlis Amanah Rakyat yang selama ini telah banyak melahirkan modal insan yang menyumbang kepada penghasilan tenaga kerja profesional juga separa profesional dalam pelbagai bidang di dalam dan di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pengumuman itu juga memberi kelegaan malah menyuntik kembali semangat buat ibu bapa dan murid-murid khususnya yang telah lama menanam impian melanjutkan pelajaran ke MRSM.

Sebelum ini, media melaporkan waris dan beberapa pemimpin pembangkang menyuarakan bantahan terhadap syarat baru kemasukan MRSM yang hanya menerima pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK).

Laman rasmi MRSM bagi kemasukan 2022 antaranya menyatakan kemasukan bagi tingkatan satu dan empat hanya dihadkan kepada permohonan calon daripada sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas