Berita

Dasar, komitmen kerajaan dalam tangani rasuah berterusan – Pejabat PM

- Diterbit 29 Januari 2021 11:19 AM MYT

DASAR dan komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah dan meningkatkan tadbir urus pentadbiran kerajaan adalah jelas serta berterusan, meskipun skor dan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 menurun sedikit daripada tahun 2019.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menegaskan kerajaan tidak pernah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelaku rasuah serta tindakan tegas bakal diambil berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Seperti mana yang telah dimaklumkan pada peringkat awal pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional, Pelan Antirasuah Nasional (NACP) masih diteruskan bagi meningkatkan tadbir urus kerajaan selain mengurangkan dan menutup peluang-peluang rasuah dalam pentadbiran kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) juga sentiasa melihat kepada kaedah dalam meningkatkan tadbir urus pentadbiran kerajaan, katanya.

Pejabat Perdana Menteri mengambil maklum berhubung keputusan CPI 2020 yang telah diumumkan oleh Transparency International (TI) (membabitkan Malaysia) semalam iaitu skor sebanyak 51 daripada 100 mata dan kedudukan 57 daripada 180 buah negara. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas