Berita

Dari Uptown Danau Kota ke Bazaria Wangsa Maju

KEADAANgerai yang lebih tersusun memberikan keselesaan kepada orang ramai membeli di Bazaria Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
- Diterbit 10 Januari 2020 3:44 AM MYT

Oleh AHMAD ABD. HAMID
[email protected]

KUALA LUMPUR – Walaupun mendapat bantahan daripada segelintir peniaga pada peringkat awal, ternyata perpindahan bazar malam atau Uptown Danau Kota, Setapak di sini ke tapak baharu memberi lebih banyak keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.

Selain ruang niaga lebih tersusun, pelbagai kemudahan asas disediakan di tapak baharu ini seperti surau, tandas, ruang pakir serta tempat membuang sampah yang tidak terdapat di tapak lama.

Tinjauan Wilayahku men­dapati, tapak baharu yang diberi jenama baharu, Bazaria Wangsa Maju dan terletak hanya kira-kira 50 meter dari tapak lama kelihatan lebih sistematik kerana terkumpul pada satu kawasan khas.

Ini berbeza dengan uptown lama yang bertabur di seke­liling ‘food court’ serta kawasan parkir Danau Kota mengakibatkan kawasan berkenaan ‘tertutup’ setiap malam uptown beroperasi dari pukul 7 petang hingga 3 pagi, Rabu hingga Ahad.

Perpindahan tapak ber­kenaan juga membantu me­ringankan masalah kesesakan lalu lintas teruk yang ditanggung penduduk Taman Danau Kota, Setapak Indah dan jalan utama Taman Ibukota sejak uptown dibuka 15 tahun lalu.

Kini mereka boleh berge­rak dengan lebih bebas. ‘Food court’, restoran, kedai-kedai serta dua stesen minyak yang selama ini ‘dilindungi’ oleh uptown juga lega kerana dapat menjalankan perniagaan de­ngan lebih lancar.

Langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) me­nempatkan peniaga di tapak baharu wajar dipuji kerana apa yang dilakukan adalah demi kebaikan peniaga, pengunjung dan penduduk setempat.

Malah DBKL juga bertolak ansur dengan memberi beberapa kali kelonggaran ke­pada peniaga untuk berpindah, awalnya hujung September kemudian hujung November.

Namun masih ada peniaga yang enggan berpindah sehingga Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad memberikan tempoh terakhir muktamad pada 31 Disember 2019.
Pada 1 Januari lalu kesemua mereka beroperasi di tapak baharu.

Peniaga tidak seharusnya membantah perpindahan ini kerana di sebalik tapak niaga yang dilengkapi pelbagai kemudahan dengan 500 ruang niaga, sewa yang dikena­kan juga rendah.
Bagi gerai makanan sewa hanya RM225.20 sebulan manakala gerai barang kering pula RM212.70 sen sebulan.

Malah DBKL memberi pengecualian sewa tiga bulan pertama untuk peniaga yang berpindah. Namun mereka masih perlu membayar lesen perniaga­an.

Jelas kadar sewa tersebut jauh lebih rendah berbanding apa yang dikenakan oleh pihak ketiga di Uptown Danau Kota sebelum ini iaitu antara RM500 hingga RM1,500 sebulan bagi setiap gerai.
Perpindahan ini melepaskan peniaga daripada cengkaman sewa tinggi.

Sebagai hadiah kepada peniaga, DBKL juga kini membenarkan Bazaria Wangsa Maju beroperasi enam hari seminggu, Selasa hingga Ahad manakala cuti pada hari Isnin.

Sebelum ini, di Uptown Danau Kota, perniagaan hanya dijalankan lima hari seminggu iaitu Rabu hingga Ahad. Cuti dua hari pada Isnin dan Selasa.

Pengunjung yang ditemui nyata lebih gembira dengan tempat baharu yang luas dan tersusun dengan gerai menjamu selera yang menyediakan lebih banyak kemudahan kerusi meja.
Uptown Danau Kota memang dikenali sejak mula dibuka.

Ramai pengunjungnya adala­h mereka dari luar kawa­san, termasuk pelancong.

Perpindahan peniaga ke Bazaria Wangsa Maju dengan suasana yang lebih selesa bakal menarik lebih ramai pengunjung untuk bersantai atau membeli-belah pelbagai barangan yang dijual.

Untuk rekod, Bazaria Wangsa Maju adalah juga tapak sementara sebelum para peniaga dipindahkan ke tapak kekal di Jalan Genting Klang, bersebelahan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan dijangka tiga tahun lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas