WK2

Dari logistik ke industri pertanian, plant factory MARDI jadi pilihan

- Diterbit 18 Disember 2021 1:00 AM MYT

BARU sahaja mencebur dalam industri pengangkutan dan logistik iaitu perkhidmatan sewaan serta charter kenderaan MPV dan luxury MPV pada awal 2019, perniagaan Glyde Sdn Bhd diuji
dengan kehadiran wabak.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak tahun lalu pula menyebabkan kesemua kenderaan tersadai.

Namun, ia tidak mematahkan semangat pengusahanya yang kemudian tampil dengan perniagaan berasaskan pertanian bermula awal tahun 2021.

Dikenali sebagai FARMY by Glyde Sdn Bhd, syarikat yang baharu menapak dalam industri pertanian ini memberi fokus kepada keselamatan makanan berikutan ia antara isu utama sepanjang
tempoh PKP.

Menurut rakan kongsinya, Shoma Tsubota, bagi menjayakan hasrat perniagaan itu, teknologi Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjadi pilihan selepas mendapati terdapat banyak ruang kosong di pusat beli-belah mahupun gudang terbiar dan pusat komersial.

“Selepas melihatnya, kami berfikir sama ada ruangan kosong itu boleh digunakan untuk aktiviti pertanian moden atau kilang tanaman berasaskan pencahayaan tambahan.

“Langkah pertama adalah menghubungi pihak terlibat dalam pengeluaran sistem pertanian pintar di luar negara, namun kos yang dinyatakan sangat tinggi. Kos sistem syarikat ZIPGROW dari Amerika Syarikat mencecah RM2 juta dan ia tidak termasuk penghantaran, syarikat SANANBIO dari China pula melibatkan kos hampir RM1.5 juta.

“Oleh itu, kajian menyeluruh mengenai pembangunan pertanian pintar di Malaysia dilakukan dan MARDI sudah menjayakan projek berkaitan yang berkonsepkan plant factory,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut Shoma, seawal 2021, kilang tanaman atau plant factory dibina seluas 12,000 kaki persegi (kps) di Kompleks Strand Mall Kota Damansara dan ia boleh pengeluaran bersamaan satu hingga dua ekar tanah ladang atau 1.5 tan sayur-sayuran sebulan.

Ujarnya, ketinggian rak bagi projek berkenaan mencecah 16 kaki yang mana kaedah NFT iaitu Teknik Aliran Nutrient Nipis digunakan untuk penanaman.

“Kaedah ini menggunakan aliran air yang nipis ke akar tumbuhan dan air dikitar semula, jadi tiada pembaziran air. Kesemua teknologi dan sistem diperoleh dan dibuat di Malaysia, komponen lampu adalah kos yang paling tinggi untuk plant factory kerana kami perlu meniru cahaya matahari di dalam bangunan tanpa haba.

“Kami menanam sayur-sayuran yang boleh ditanam di Cameron Highlands antaranya kale, swiss chard, collard green, lettuce dan pokok herba. Kualiti sayur bergantung kepada masa selepas tuai kerana ia dihantar terus ke rumah pembeli dalam 30 minit selepas tuaian,” jelasnya sambil menambah tidak menggunakan racun perosak.

Bagi syarikat PS Food and Beverage Sdn Bhd yang baru mengintai industri pertanian berasaskan teknologi penanaman vertikal, ia bertujuan memenuhi ruangan kosong kira-kira 20,000 kps
yang tidak digunakan di kilangnya di Meru, Klang Selangor.

Pengurus Pembangunan Perniagaannya, Hayat Darus berkata, kapasiti tersebut tidak digunakan dan syarikat bercadang untuk menggunakannya bagi pembangunan teknologi pertanian.

Mengulas tentang modal untuk pembangunan, ujarnya, melalui fasiliti yang sedia ada, dia yakin dapat menggunakan teknologi dan kepakaran MARDI pada kos yg kompetitif dan produktif. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas