Berita

DapurPrihatin@GrandSeason sumbang 1500 pek makanan untuk petugas hospital

JUNAIDI (kanan) dan Zaizalnizam (tengah) menyerahkan sumbangan 500 pek makanan bermasak kepada Mohd Rizal hari ini.
- Diterbit 20 Julai 2021 2:30 PM MYT

DAPURPRIHATIN menyumbangkan kira-kira 1,500 pek makanan bermasak untuk petugas barisan hadapan terutama di tiga buah hospital yang menguruskan pesakit-pesakit COVID-19.

Pengarah RumahPrihatin@GrandSeason, Datuk Seri Dr Junaidi Abu Bakar berkata, inisiatif ini sebagai menghargai pengorbanan yang diberikan oleh pasukan petugas barisan hadapan terutama di hospital yang merawat pesakit COVID-19 di Lembah Klang.

“Mereka mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang tinggi atas sumbangan tersebut dan semoga ia boleh membantu frontliners dan kakitangan di HSB.

“Mereka sangat menghargai sumbangan ini terutama pada Hari Raya Aidil Adha dan dapat berkongsi kegembiraan ini selain ia dapat meringankan beban para petugas kesihatan.

“Program sumbangan ini merupakan idea dan arahan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa yang menghargai pengorbanan petugas kesihatan selama ini.” katanya kepada Wilayahku selepas menyerahkan kira-kira 500 pek makanan bermasak di Hospital Sungai Buloh hari ini.

Rombongan tersebut diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Datuk Zaizalnizam Zainun dan Sukarelawan Prihatin (PriVo) turut menyertai program tersebut.

Junaidi berkata, DapurPrihatin turut akan menyerahkan sumbangan 500 pek makanan untuk Hospital Kuala Lumpur pada Rabu, 21 Julai 2021 dan Hospital Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada Khamis, 22 Julai 2021.

Kata Junaidi lagi, beliau juga menawarkan kepada kakitangan hospital untuk menginap di BilikPenginapanPrihatin yang turut disediakan di RumahPrihatin@GrandSeason.

“Saya juga mengalu-alukan penjaga atau waris kepada pesakit COVID-19 yang sedang dirawat di HSB untuk datang ke RumahPrihatin sekiranya tidak ada tempat penginapan dan sebanyak 300 bilik telah disediakan.

“Walaupun berada di Selangor, jarak perjalanan adalah lebih kurang 20 hingga 30 minit dan kita mengalu-alukan kehadiran mereka kerana di sini dan ia terbuka kepada sesiapa sahaja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pengurusan HSB, Mohd Rizal Abdullah menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kerana DapurPrihatin sudi memberikan sumbangan kepada petugas-petugas ini.

“Kami gembira kerana ia menunjukkan keprihatinan daripada pihak Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang menghargai pengorbanan petugas kesihatan di hospital ini.

“Sumbangan makanan ini akan diagihkan di Jabatan Kesihatan, Unit Rawatan Rapi serta di semua wad-wad yang menempatkan petugas ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas