Atlet Wilayah

Daniea bangga sertai bola jaring KL

DANIEA (kiri) menerima bantuan banjir daripada Shahidan (tengah) baru-baru ini. Turut serta Datin Seri Shamsiah Md Yassin. DANIEA (kiri) menerima bantuan banjir daripada Shahidan (tengah) baru-baru ini.
- Diterbit 9 Januari 2022 1:00 AM MYT

EMPAT kali berturut-turut pasukan bola jaring Kuala Lumpur memegang takhta juara dalam Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan, atlet bola jaring, Siti Nur Daniea Alisya Iqma Syamsul Rakesh, 20, mengakui kejuaraan tahun ini begitu bermakna bagi mereka.

Katanya kepada Wilayahku, dua tahun berada dalam situasi pandemik COVID-19 merupakan saat yang begitu mencabar lebih-lebih lagi ia menjadi halangan buat pasukannya menjalani latihan di padang.

“Biarpun berdepan dengan keadaan yang sukar namun pasukan tetap menjalani latihan biarpun secara dalam talian. Jadi, dengan kemenangan ini sudah semestinya semua pemain berpuas hati dengan hasil kesungguhan masing-masing.

“Namun yang pasti, kejayaan ini bertitik tolak daripada kekuatan jurulatih kami, Norizan Rejab. Dia merupakan individu yang banyak membantu pasukan dengan caranya yang tersendiri.

“Setiap kali berlatih, dia akan memastikan semua posisi. Secara tidak langsung daripada situ, dia akan nampak kelemahan serta kelebihan setiap pemain,” ujar pelajar Diploma Sains Sukan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam ini.

Tambahnya lagi, sebagai seorang pemain dia turut menyokong cara jurulatihnya kerana langkah itu sangat membantu menyusun pemain di setiap posisi dengan tepat mengikut kelebihan masing-masing.

Bercerita lanjut tentang kejohanan akan datang, Daniea mengakui pasukannya kini sedang giat berlatih untuk menghadapi Kejohanan Liga Super Bola Jaring, Kejohanan Remaja Bawah 21 Tahun dan SUKMA.

Sempat berkongsi kisah duka dia dan keluarga terlibat dalam bencana banjir di kediaman yang terletak di Kampung Seri Aman, Puchong baru-baru ini, anak sulung daripada tiga orang adik-beradik ini terharu menerima bantuan daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

“Saya tidak menyangka menerima sumbangan berupa barangan asas daripada beliau lebih-lebih lagi ketika majlis penghargaan atas kemenangan pasukan bola jaring Wilayah Persekutuan yang diadakan di RumahPrihatin@GrandSeasons.

“Segala jasa baik dan keprihatinan beliau amat saya hargai. Sekurang-kurangnya bantuan tersebut dapat meringankan beban saya sekeluarga,” ujarnya yang berdepan dengan kerosakan perkakasan rumah akibat bencana banjir baru-baru ini. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas