Berita

Dalam ICU, “SANDRA Masih Kritikal” – Pengurus Saluran Astro Ria

SANDRA masih kritikal selepas kemalangan pada Sabtu lalu.
- Diterbit 7 September 2020 1:17 AM MYT

PESERTA program Big Stage 2020 iaitu Sandra Dianne yang terlibat dalam kemalangan pada petang Sabtu (5 September 2020) masih dalam keadaan krtikal dan tidak sedarkan diri. 

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal. 

“Pihak Astro dan seluruh warga produksi Big Stage 2020 masih terkejut dan turut bersimpati dengan berita duka mengenai kemalangan jalan raya membabitkan salah seorang peserta musim ini, Sandra Dianne. 

“Kami juga turut dimaklumkan bahawa keadaan Sandra kini masih kritikal dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya.

“Selaku penganjur,  kami masih lagi menunggu status perkembangan terkini mengenai keadaan Sandra daripada pihak hospital sebelum membuat sebarang keputusan lanjut berhubung penyertaan beliau dalam pertandingan ini. 

“Apa jua keputusan yang akan diambil selepas ini adalah bergantung kepada nasihat doktor dan pakar,” katanya melalui sebuah kenyataan rasmi Astro. 

SAMA-sama kita doakan agar Sandra mula sedar dan keadaannya semakin pulih.

Ema juga memberitahu, bayaran elaun akan terus diberikan kepada Sandra.

“Walaupun penyertaan Sandra dikecualikan bermula pada minggu ini sehingga tempoh yang diberitahu, pihak produksi akan tetap meneruskan bayaran penuh elaun Big Stage 2020 kepada beliau sehingga penganjuran musim ini tamat.

“Kami juga dengan berat hati ingin memaklumkan di sini tentang pelan perlindungan insuran yang diambil ke atas semua program terbitan Astro hanya meliputi pemegang polisi yang berada di dalam kawasan rakaman sahaja.

“Buat masa sekarang, fokus paling utama adalah untuk memastikan Sandra kembali sembuh kerana kesihatan beliau adalah lebih mustahak. 

“Kami berharap agar Sandra dan keluarganya dapat bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini. 

“Kami juga memohon agar semua pihak dapat memberi masa dan ruang kepada mereka untuk bertenang sehingga keadaan lebih stabil,” jelasnya lagi yang akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa mengenai keadaan Sandra. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas