Berita

Dakwaan dihalau dalam 42 hari tidak benar, PKB hanya pengantara

Mohd Khire Abdul Latif menyatakan tidak pernah timbul isu menghalau penduduk keluar dari rumah mereka.|PADA sidang media pagi tadi
- Diterbit 4 Disember 2021 9:22 AM MYT

DAKWAAN yang mengatakan sebahagian penduduk di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru Kuala Lumpur akan dihalau dalam tempoh 42 hari adalah tidak benar.

Jelas Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Tanah) Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Mohd Khire Abdul Latif, dakwaan penduduk terlibat adalah salah kerana notis yang diterima bermaksud mereka diberi tempoh 42 hari untuk membantah atau menerima tawaran yang diberikan selepas tarikh perbicaraan mahkamah (berkaitan pampasan) yang berlangsung pada 15 hingga 25 November lalu.

“Jika tak puas hati dengan apa yang diputuskan mahkamah, (penduduk terlibat) boleh membuat bantahan dalam masa 42 hari dari tarikh perbicaraan yang mereka terlibat.

“Kalau tarikh yang dibicarakan adalah 25 November, jadi mereka boleh membuat bantahan dalam tempoh 42 hari selelas itu,” katanya ketika ditemui di Jalan Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini.

KETUA Penolong Pengarah (Pengurusan Tanah) Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Mohd Khire Abdul Latif menyatakan tidak pernah timbul isu menghalau penduduk keluar dari rumah mereka.

Terdahulu, sekumpulan penduduk Kampung Sungai Baru membuat protes jalanan berikutan salah seorang daripada mereka menerima notis mahkamah yang didakwa sebagai ‘menghalau’ keluar dari kawasan penempatan.

PADA sidang media pagi tadi, Pengerusi PKB, Datuk Affendi Zahari (tengah) menegaskan PKB hanya sebagai pemudah cara antara penduduk Kampung Baru dan pihak pemaju.

Difahamkan, mereka antara penduduk yang tidak bersetuju dengan tawaran pampasan yang dikatakan terlalu rendah serta tidak mengikut harga pasaran tanah semasa bagi membolehkan pembangunan semula dijalankan melibatkan penempatan di Kampung Sungai Baru.

Mengulas berkenaan isu pampasan, Pengerusi PKB, Datuk Affendi Zahari berkata, pihaknya yang bertindak sebagai pengantara atau pemudah cara antara pemaju dan penduduk, akan berusaha untuk menyelesaikan isu yang timbul secepat mungkin.

“Saya tidak boleh menjawab persoalan (tentang isu pampasan). Semua cara pengambilan tanah itu adalah mengikut peraturan dan undang-undang yang dilakukan oleh JKPTG Kuala Lumpur. Mereka yang membuat keputusan sama ada nilai itu RM1 atau RM1.10 (sebagai contoh).

“Bagi pihak PKB, saya tidak teragak-agak untuk bersama Kementerian Wilayah Persekutuan dan berjumpa dengan pemaju serta wakil-wakil penduduk, bagi mencari jalan win win situation (situasi menang menang untuk kedua-dua pihak) bagi orang kampung,” jelasnya.

SEBAHAGIAN penduduk Kampung Sungai Baru yang meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa pampasan yang diberikan tidak setimpal dengan nilai tanah.

Menjawab persoalan daripada penduduk setempat yang mempertikaikan tugas PKB dalam menyelesaikan isu yang sudah lama berlarutan itu, ujar Affendi fungsi PKB dengan Perbadanan Putrajaya adalah tidak sama yang mana pihak berkuasa tempatan itu boleh menjadi pemaju, tetapi PKB tidak.

Jelas beliau, fungsi PKB hanya sebagai penyelaras atau pemudah cara dan baru tahun lepas, kerajaan mengambil pandangan meminta PKB melihat pembangunan semula yang dirancang, tercapai.

“Dulu pemaju yang seratus peratus dipertanggungjwabkan untuk meminta persetujuan penduduk, barulah pembangunan boleh dijalankan. Tetapi kerajaan melihat, kalau kita nak tunggu seratus peratus persetujuan orang kampung barulah pembangunan dijalankan, ia tidak akan dicapai.

“Jadi mereka berpandangan bahawa, lebih baik dapatkan majoriti (lebih 50 peratus) orang kampung dan kita akan membantu pemaju untuk membuat pengambilan tanah,” ujarnya sambil menyatakan keberadaan PKB ketika ini adalah selepas kerajaan menukar pandangan serta polisi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas