Selebriti

“Cukup-cukuplah derita itu”- Pak Nil

- Diterbit 16 November 2021 12:30 PM MYT

PENGACARA popular Datuk Aznil Nawawi,59, melihat pengambilan vaksin COVID-19 adalah hak masing-masing. Ini kerana kerajaan juga tidak mewajibkan prosedur pelalian atau vaksinasi itu.

Dalam masa yang sama, Aznil yang lebih mesra disapa Pak Nil menghormati pendirian mereka yang menolak divaksin atau ada disebut sebagai anti vaksin dan prosafe (ambil langkah berjaga-jaga).

“Ia hak masing masing. Saya hormat. Daripada awal lagi kerajaan pun tak paksa sama ada nak ambil vaksin atau sebaliknya. Tapi bila keluar dakyah salah bertentangan sains atau propaganda itu ini daripada segelintir golongan berkenaan, itu yang tak syok.

“Mungkin sebaiknya golongan itu tidak terlalu lantang dalam media sosial. Tapi ia hanya pandangan rawak saya saja kerana zaman media sosial beraja ini ramai tegar bersuara,” katanya yang ditemui baru-baru ini pada sidang media pelancaran rangkaian produk Diffenz Junior keluaran Eskayvie khusus untuk kanak kanak di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Pak Nil yang pernah memenangi 10 kali kategori Pengacara TV Lelaki Popular sejak 2003 hingga 2010 itu
juga turut mengulas kenyataan
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini yang menyebut akan terus menyusahkan urusan golongan
berkenaan.

“Pada pandangan sayalah, beliau bukan nak menghimpit golongan anti vaksin. Sebaliknya merujuk kepada golongan yang tak nak divaksin tetapi pada masa sama mengeluarkan dakyah salah untuk menakutkan orang ramai.

“Jadi saya setuju jika golongan itu pegang pendirian mereka tak mahu divaksin tanpa mengeluarkan dakyah tertentu.

“Pendek kata hormat pendirian itu. Dalam masa sama, golongan itu hormati mereka yang memilih divaksin. Begitulah sebaliknya,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, Malaysia pun sudah mencapai lebih 90 peratus populasi dewasa telah lengkap dos suntikan vaksin.

“Jadi yang lebih kurang 10 peratus lagi merujuk kepada golongan antivaksin, kanak kanak dan mereka yang tak boleh divaksin atas faktor pelbagai termasuk kesihatan.

“Kita yang memilih vaksin ini jangan bermusuh dengan mereka. Kita cuba lindungi mereka. Majoriti akan menang melawan minoriti. Insya-Allah.

“Kita sudah bergelut melalui era COVID-19 ini. Cukup cukuplah derita itu. Tak perlu kita tambah dengan pertelagahan prinsip mahu divaksin atau sebaliknya,” katanya yang sudah lengkap dua dos vaksin. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas