Berita

COVID: Sabah pertingkat vaksinasi 30,000 orang sehari bermula 1 Julai

MENURUT Ketua Menteri Sabah, lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) akan dibuka selain memperluas program pemberian vaksin kepada penduduk di pedalaman. Gambar oleh - BERNAMA
- Diterbit 15 Jun 2021 9:49 AM MYT

KERAJAAN Negeri Sabah kini berusaha meningkatkan kadar vaksinasi COVID-19 untuk penduduknya kepada 30,000 orang sehari bermula 1 Julai ini, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata pada masa ini, kadar pemberian vaksin ialah kira-kira 13,000 orang sehari dan dalam usaha meningkatkan angka itu, lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) akan dibuka selain memperluas program pemberian vaksin kepada penduduk di pedalaman.

Hajiji berkata sehingga Ahad lepas, seramai 249,945 penduduk Sabah telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 atau 8.5 peratus daripada 2.93 juta penduduk negeri itu yang disasarkan untuk divaksin sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancarkan pada 26 Feb lepas.

“Ketika ini, sebanyak 72 fasiliti kesihatan dan 23 PPV awam beroperasi bagi membantu program imunisasi yang sedang giat dilaksanakan… PPV Wisma Wanita ini merupakan antara 16 PPV awam yang dibuka pada bulan ini.

“PPV awam lain juga akan mula beroperasi bulan ini antaranya PPV Dewan Masyarakat Manggatal, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun, Dewan Serbaguna Libaran dan Dewan Institut Pendidikan Guru Balung di Tawau,” katanya pada sidang media selepas melawat PPV Wisma Wanita hari ini.

Mengulas mengenai PPV Wisma Wanita, Hajiji berkata PPV yang mula beroperasi semalam itu mampu memberikan suntikan vaksin kepada 400 orang sehari dan digunakan bagi pemberian vaksin kepada penjawat awam yang bertugas di Kota Kinabalu serta penduduk setempat.

“Keutamaan akan diberikan kepada kakitangan perkhidmatan awam yang sentiasa berada di lapangan dan bertemu orang ramai seperti pemandu, penghantar barang, pegawai kaunter dan anggota polis, Jabatan Air, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata bermula bulan ini juga, Hospital Gleneagles, Rafflesia Medical Center dan 36 klinik swasta terlibat dalam pemberian vaksin kepada penduduk di Sabah manakala pengurusan Hotel Pacific Sutera juga telah membenarkan penggunaan fasiliti hotel sebagai PPV.

Katanya Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) juga akan dijadikan PPV dengan kapasiti vaksinasi 3,500 orang sehari untuk pemberian vaksin kepada pekerja industri, kilang dan perkhidmatan ekonomi yang lain. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas