Berita

COVID: 53 petugas media sukan olimpik dan paralimpik Tokyo telah divaksin

NORISMADI Abd Manap bergambar bersama salah seorang petugas media yang telah menerima suntikan vaksin di MITEC hari ini. Kredit foto oleh - Facebook Perstuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)
- Diterbit 14 Jun 2021 11:47 AM MYT

SERAMAI 53 ahli Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang akan membuat liputan pada Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, Jepun telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 hari ini, manakala sorang lagi akan divaksin esok.

Presidennya Norismadi Abd Manap berkata, kesemua 53 pengamal media berkenaan telah menerima suntikan jenis Pfizer BioNTech di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), di sini.

Norismadi merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), terutama menterinya Khairy Jamaluddin, yang telah memberi kerjasama terhadap permohonan SAM bagi membolehkan ahli-ahlinya menerima suntikan lebih awal, sebelum mereka memulakan tugas di Tokyo nanti.

“Bagi pihak Exco SAM, saya mengucapkan terima kasih kepada MOSTI, Khairy, Majlis Sukan Negara dan juga Majlis Olimpik Malaysia atas kerjasama yang telah mereka berikan, bagi merealisasikan proses suntikan vaksin kepada ahli-ahli SAM.

“Terima kasih juga kepada pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan serta Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, yang turut memberi kerjasama bagi melancarkan proses vaksinasi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sukan Olimpik dijadual berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Paralimpik pula pada 24 Ogos hingga 5 Sept. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas