COVID: 398,846 kes sporadik direkodkan sejak 1 Jan hingga 19 Jun
KETUA Menteri Kesihatan melaporkan negeri tertinggi yang melaporkan kes sporadik adalah Selangor dengan 151,725 kes. Gambar - Sinar Harian

COVID: 398,846 kes sporadik direkodkan sejak 1 Jan hingga 19 Jun

SEBANYAK 398,846 kes sporadik direkodkan daripada 578,105 jumlah kes COVID-19 yang dicatatkan di dalam negara sejak 1 Jan hingga 19 Jun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata negeri tertinggi yang melaporkan kes sporadik adalah Selangor dengan 151,725 kes, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 44,517 kes serta Sarawak dengan 40,889 kes.

Katanya walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diumumkan pada 12 Mei lepas dilihat telah berjaya mengawal peningkatan kes kluster pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-24 (13 hingga 19 Jun), namun kes-kes sporadik masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara.

“Kes-kes sporadik bermaksud kes-kes yang dikesan di dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada. Kes-kes sporadik ini dikesan melalui saringan di tempat kerja, saringan dalam komuniti, ataupun daripada saringan kes bergejala.

Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes sporadik tersebut tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dengan betul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Lembah Klang, yang terdiri daripada Kuala Lumpur dan pinggir bandarnya serta meliputi kawasan bandar dan bandar raya di Selangor, mencatatkan jumlah kes sporadik tertinggi di Malaysia pada ME ke-24.

Tiga daerah tertinggi adalah Daerah Petaling dengan 3,905 kes, Daerah Hulu Langat (2,783 kes), dan Daerah Klang dengan 2,482 kes.

“Implikasi kepada perkara ini, kawasan Lembah Klang yang sememangnya mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, bukan sahaja terdedah kepada bahaya banyak kes sporadik di dalam komuniti, malahan kebanyakan daripada kes-kes COVID-19 ini tidak mempunyai gejala.

Dalam erti kata lain, sukar bagi kita untuk mengetahui siapa yang mempunyai COVID-19 di kalangan kita. Oleh itu adalah sangat penting bagi semua pihak mengambil maklum perkara ini dan melindungi diri serta keluarga masing-masing daripada bahaya COVID-19,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat untuk terus konsisten dalam mematuhi SOP sepenuhnya dan mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri sebagai salah satu langkah mendepani peningkatan kes sporadik dan kes COVID-19 tidak bergejala khususnya di kawasan sesak dan berisiko tinggi. – BERNAMA

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )