Berita

COVID: 23 kes VOC dikesan dalam tempoh enam hari – KP Kesihatan

JUMLAH kumulatif kes COVID-19 yang dikategorikan sebagai VOC dan Varian Yang Perlu Mendapat Perhatian (VOI) adalah 161 kes, dengan 145 kes VOC dan 16 kes VOI.
- Diterbit 10 Jun 2021 8:08 AM MYT

SEBANYAK 23 kes Varian Yang Membimbangkan (VOC) COVID-19 dikesan dalam negara, hasil survelan genomik secara berterusan dari 3 hingga 8 Jun, dengan 19 daripadanya varian Beta (B.1.351), manakala empat kes varian Delta (B.1.617.2).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam perkongsian di laman Facebook berkata, kes varian Beta (B.1.351) yang dilaporkan adalah merangkumi lapan kes di Selangor, tiga di Putrajaya, masing-masing dua kes di Kuala Lumpur, Melaka dan Kedah, serta masing-masing satu kes di Perak dan Perlis.

Manakala varian Delta (B.1.617.2) yang dikesan adalah masing-masing dua kes di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Dr Noor Hisham berkata sehingga semalam, jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dikategorikan sebagai VOC dan Varian Yang Perlu Mendapat Perhatian (VOI) adalah 161 kes, dengan 145 kes VOC dan 16 kes VOI.

Jumlah VOC yang dilaporkan adalah 123 kes varian Beta (B.1.351), 13 kes varian Delta (B.1.617.2), sembilan kes varian Alpha (B.1.1.7), manakala VOI dikesan adalah 12 kes varian Theta (P.3), tiga varian Eta (B.1.525) dan satu kes varian Kappa (B.1.617.1).

“Kementerian Kesihatan akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit, termasuk meneruskan survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2, memperbanyakkan ujian saringan COVID-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes, serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti,” katanya.

Dr Noor Hisham juga menasihatkan orang ramai untuk segera tampil mendaftarkan diri dan ahli keluarga, bagi mendapatkan vaksin dalam usaha membantu negara dalam membentuk imuniti kelompok. — BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas