Berita

Covid-19 turun ke kadar terendah, 15 kes baharu

PETUGAS kesihatan di pusat kuarantin pesakit Covid-19 di MAEPS, Serdang.
- Diterbit 27 Mei 2020 10:19 AM MYT

PUTRAJAYA – Kes baharu positif Covid-19 kembali turun dua angka malah kes dilaporkan hari ini adalah kes harian terendah berbanding sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini mencecah 7,619 kes.

“Daripada 15 kes baharu itu, lima daripadanya membabitkan penularan tempatan di kalangan warganegara Malaysia.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 1,421 kes namun mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan, terdapat 42 kes yang sudah pulih dan dibenarkan keluar hospital pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang sudah pulih sepenuhnya Covid-19 dan dibenarkan keluar dari wad adalah sebanyak 6,083 kes iaitu 79.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat pukul 12 tengah hari tadi, ujar beliau.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 115 kes.

“Seramai lapan pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas