Berita

COVID-19: Sekolah dibuka seperti biasa di Labuan

- Diterbit 13 Oktober 2020 9:15 AM MYT

SEMUA 26 buah sekolah menengah dan rendah di sini beroperasi seperti biasa walaupun jumlah kehadiran pelajar dan guru adalah rendah.

Pengarah Pendidikan Labuan Khaziyati Osman berkata setakat ini belum ada arahan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menutup sementara sekolah memandangkan peningkatan kes COVID-19 di sini.

“Kami menerapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat kepada guru dan pelajar sebelum memasuki pekarangan sekolah, ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung dan semasa waktu rehat.

“Guru-guru bersedia untuk memeriksa suhu setiap pelajar di pintu masuk sekolah dan kami mempunyai cukup bekalan cecair pembasmi kuman dan kemudahan mencuci tangan, selain memastikan penjarakan fizikal,” katanya kepada Bernama hari ini.

Khaziyati berkata 58 guru dari sembilan sekolah menengah dan 108 guru dari 17 sekolah rendah masing-masing telah menjalani ujian COVID-19 sebanyak dua kali. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas