Utama

COVID-19: Ledakan pandemik kritikal, kes aktif melepasi 41 ribu

- Diterbit 22 Januari 2021 4:31 AM MYT

DUA hari mencatat kes baharu positif COVID-19 sekitar empat (4) ribu membenarkan unjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa Malaysia berhadapan dengan ledakan pandemik, ketika Gelombang Ketiga membadai negara.

Ini ditunjukkan dengan rekod kes harian baharu COVID-19 pada 16 Januari iaitu sebanyak 4,029 kes dan pada 20 Januari, sebanyak 4,008 kes.

Jumlah 4,029 kes adalah rekod tertinggi untuk Malaysia sejak kes pertama COVID-19 diumumkan di negara ini pada 25 Januari 2020. Tanggal 25 Januari 2021 ini, genap setahun Malaysia dibadai koronavirus maut ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata, “kita belum nampak lagi pengakhiran atau penghujung kepada peperangan ini (perang COVID-19)”.

KKM juga dilaporkan berkemungkinan mencadangkan kepada kerajaan untuk memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang dikuatkuasakan baru-baru ini.

Langkah ini juga dilihat amat perlu, untuk menyekat ledakan kes harian baharu, tambahan terdapat beberapa perayaan dijadual disambut dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

KKM sebelum ini membuat unjuran untuk tempoh 4 Januari-31 Mei 2021 iaitu kes harian antara 3,000 (minggu kedua Februari 2021), 5,000 kes sehari (minggu kedua April 2021) dan 8,000 sehari (minggu keempat Mei 2021).

Unjuran tersebut berdasarkan R naught (RO) 1.1. RO merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan wabak dalam masyarakat.

Pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari sehingga bulan Ogos 2021 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang kini meliputi seluruh negara kecuali Sarawak, diharap dapat melandaikan lengkungan jangkitan COVID-19 di negara ini.

Dr Noor Hisham Abdullah dipetik pada 14 Januari sebagai berkata, usaha melandaikan semula lengkungan dijangka menunjukkan hasil menjelang Mei atau Jun 2021, dengan sasaran kes baharu berlegar antara 500 hingga 1,000 kes sehari.

Semalam 21 Januari, negara mencatat 3,170 kes harian baharu ( penularan tempatan 3,162 dan import 8 kes), menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 41,755 kes. Jumlah keseluruhan kes COVID-19 negara (bermula dengan tiga kes pada 25 Januari 2020) kini melonjak kepada 172,549 kes.

Malaysia kini berada di tangga 60 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik COVID-19, memintas Armenia (165,528 kes) dan Kuwait (159,834 kes). Berada di hadapan Malaysia adalah Lithuania dengan 173,819 kes.

Negara China yang melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung tahun 2019, di tangga 83 dengan 88,804 kes, sementara negara jiran Singapura di tangga 90 dengan 59,235 kes.

Untuk rekod, kes baharu harian sepanjang rangkuman mingguan, 4,029 kes (16 Jan), 3,339 kes (17 Jan), 3,306 kes (18 Jan), 3,631 kes (19 Jan), 4,008 kes (20 Jan) dan  3,170 kes (21 Jan).

 

TEMPOH PKP 2.0 KRITIKAL 

 

PKP 2.0  untuk Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor, Kelantan dan Sabah yang dijadualkan berakhir 26 Januari dilanjutkan sehingga 4 Februari.

Sebelum ini pelaksanaan PKP selama dua minggu diisytihar untuk Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu dan Perlis, bermula Jumaat 22 Januari sehingga 4 Februari 2021.

Sarawak pula dikenakan PKP Bersyarat (PKPB), kecuali daerah Sibu yang dietakkan di bawah PKP mulai 16 Januari hingga 29 Januari 2021.

Tempoh pelaksanaan PKP 2.0 ini amat kritikal untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 daripada menjerumuskan negara kepada bencana lebih besar.

Dr Noor Hisham pada Selasa 19 Januari berkata, kes jangkitan baharu COVID-19 di Malaysia dijangka kekal tinggi dalam beberapa hari lagi dengan purata 3,000 kes sehari.

Beliau turut menjelaskan, jumlah kes tinggi yang dilaporkan sejak kebelakangan ini, adalah hasil pendedahan kepada virus COVID-19 bagi tempoh 14 hari lalu iaitu sebelum 13 Jan lalu. Selepas 26 Januari iaitu dua minggu selepas PKP, kes baharu dijangka menurun sedikit namun tidak terlalu ketara.

Keberkesanan memutuskan rantaian jangkitan akan dapat dilihat dengan lebih ketara, selepas empat minggu dan usaha melandaikan keluk jangkitan dijangka dapat dicapai pada bulan Mei atau Jun.

Sementara itu, KKM turut mempertingkatkan fasiliti kesihatan bagi menampung bilangan pesakit COVID-19 yang semakin bertambah ramai, antaranya, menubuhkan Hospital Bersepadu di MAEPS yang akan beroperasi 24 Jan ini hasil kerjasama pelbagai agensi lain.

Sebanyak 14 lagi hospital COVID-19 dibuka di Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang, Selangor, Kedah, Sabah dan Sarawak untuk menempatkan pesakit tahap 3, 4 dan 5 dengan keseluruhan 539 katil.

Bagi mengurangkan kesesakan di PKRC, pesakit tahap 1 dan 2 yang memenuhi syarat selepas penilaian risiko, dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

 

BEBAN KLUSTER BAHARU DAN SEDIA ADA 

 

KKM mengumumkan sehingga 21 Januari 2021, terdapat 701 kluster termasuk 16 kluster yang dilaporkan hari ini. Sebanyak 374 kuster diisytihar tamat sementara 327 kluster masih aktif dan dipantau.

Daripada jumlah itu, sebanyak 84 kluster mencatat pertambahan kes pada hari ini dan yang tertinggi adalah Kluster Pasai (88 kes), Kluster Tapak Bina Dutamas (42 kes) dan Kluster Jalan Sempadan (32 kes).

Kluster Pasai diumumkan pada 9 Januari dan melibatkan daerah Sibu dan Mukah di Sarawak. Kes positif dikesan pada 7 Januari 2021, hasil saringan rentas negeri. Ia melibatkan seorang wanita yang kembali dari Johor untuk menghadiri pengebumian bapanya di Pasai Siong. Sebanyak 38 kes positif dikesan ketika diumumkan pada 7 Januari. Setakat 21 Januari, kluster ini merekodkan 981 kes.

Berdasarkan laporan KKM, sepanjang tempoh rangkuman mingguan (16 Jan – 21 Jan), Kluster Tempat Kerja (KTK) melibatkan tapak binaan, kilang dan syarikat begitu ketara di samping kluster yang dikesan akibat majlis perjumpaan keluarga dan acara pengkebumian dan juga di pusat tahanan.

Untuk rekod, jumlah kluster baharu sepanjang 16 Jan –  21 Jan adalah  6 kluster (16 Jan), 10 kluster (17 Jan), 9 kluster (18 Jan), 9 kluster (19 Jan), 16 kes (20 Jan) dan 16 kluster (21 Jan).

Pada 20 Januari, daripada 16 kluster baharu, 11 adalah KTK dan 11 KTK juga direkodkan pada 21 Januari yang turut mencatat 16 kluster baharu.

Antara KTK yang dilaporkan pada 20 Januari adalah Kluster Tapak Bina Jalan Abdul Aziz yang melibatkan daerah Petaling, Selangor, hasil saringan bersasar di tapak binaan di Jalan Dato Abdul Aziz Seksyen 19, Petaling Jaya. Sebanyak 56 kes positif dikesan.

Terdapat satu kluster iaitu Kluster Kampung Balibata, melibatkan majlis pengkebumian dan kenduri tahlil dilaporkan di Kampung Balibata, Beaufort, Sabah. Kesemua 35 individu yang disaring disahkan positif COVID-19.

Satu kluster pusat tahanan dilaporkan pada 19 Januari iaitu Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok, melibatkan daerah Hulu Langat, Selangor. Sebanyak 217 kes positif dikesan hasil saringan bersasar di Penjara Wanita Kajang di Jalan Sungai Jelok, Kajang, Selangor.

Pada 20 Januari, KKM melaporkan Kluster Batu Enam, berlaku di Kampung Orang Asli Batu Enam, Batang Padang, Perak dan sebanyak 12 kes positif dikesan daripada 41 individu yang disaring.

PERINCIAN KES COVID-19 DI MALAYSIA

 

Menurut laporan perincian 3,170 kes positif COVID-19 KKM, WP Kuala Lumpur mengatasi Selangor untuk jumlah kes terbanyak pada 21 Januari iaitu 576 kes termasuk 20 kes daripada Kluster Terolak dan Kluster Pasar Borong KL2. Sebanyak lima (5) kes import turut dilaporkan.

Selangor pada 21 Januari merekod 545 kes dan melaporkan dua kluster baharu iaitu Kluster Jalan Kelapa dan Kluster Jalan Canang Emas dan satu (1) kes import; Johor mencatat 423 kes dan tiga kluster – Kluster Jalan Sempadan, Kluster Tampoi Tujuh dan Kluster Seri Bayu dan satu (1) kes import.’

Sabah mempunyai 401 kes dan dua kluster baharu iaitu Kluster Ladang Sebrang dan Kluster Silimpopon dan satu (1) kes import; Perak melaporkan 245 kes dan tiga kluster baharu iaitu Kluster Taman Sejahtera, Kluster Jalan Slim dan Kluster Kota Muhibbah; Pulau Pinang mencatat 171 kes dan satu kluster baharu, Kluster Mandin Jaya; Kedah merekod 156 kes dan dua kluster baharu , Kluster Orion dan Kuster Gunung Raya.

Kelantan mencatat 135 kes; Sarawak 132 kes ; Melaka 106 kes; Negeri Sembilan 102 kes; Terengganu 57 kes dan melaporkan satu kluster baharu, Kluster Kampung Tanah Merah; Pahang 48 kes; WP Putrajaya 33 kes; WP Labuan 32 kes dan Perlis lapan (8) kes.

Sementara itu, KKM melaporkan sehingga 21 Januari 2021, sebanyak 2,490 kes sembuh, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 130,152 (75.4 peratus).

Kes sembuh sepanjang 16 Jan hingga 21 Jan adalah 2,148 kes (16 Jan), 2,676 kes (17 Jan), 2,293 kes (18 Jan), 2,944 kes (19 Jan), 2,374 kes (20 Jan) dan 2,490 kes (21 Jan).

Sementara itu, seramai 260 pesakit COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, di mana 103 kes memerlukan bantuan pernafasan.

KKM pada 21 Januari mengumumkan 12 kes kematian, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 642 kes ( 0.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Kes kematian sepanjang tempoh rangkuman adalah 8 kes (16 Jan), 7 kes (17 Jan), 4 kes (18 Jan), 14 kes (19 Jan), 11 kes (20 Jan) dan 12 kes (21 Jan).

STATISTIK GLOBAL COVID-19

 

Setakat rangkuman mingguan ini, kes COVID-19 global sebanyak 98,088,731 (rangkuman minggu lalu 93,620,077 kes) dengan 2,100,388 kematian (minggu lalu 2,004,507 kematian). Jumlah pesakit sembuh 70,466,927 (minggu lalu 66,924,078).

Terdapat 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Rusia, United Kingdom, Perancis, Itali, Sepanyol, Turki dan Jerman.

Pecahan kes COVID-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 25,196,086 kes (420,285 kematian), India 10,626,200 kes (153,067 kematian), Brazil 8,699,814 kes (214,228 kematian), Rusia 3,655,839 kes (67,832 kematian), United Kingdom 3,543,646 kes (94,580 kematian), Perancis 2,987,965 kes (71,998 kematian), Itali 2,428,221 kes (84,202 kematian), Sepanyol 2,560,587 kes (55,041 kematian), Turki 2,412,505 kes (24,640 kematian) dan Jerman 2,108,895 kes (51,151 kematian).

Sementara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-83 dengan 88,804 kes dan angka kematian 4,635.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina turut menyertai senarai 79 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Indonesia merekod 951,651 kes dengan 27,203 kematian, di tangga 19 sementara Filipina melaporkan 507,717 kes dengan 10,116 kematian, di tangga 32.

Myanmar minggu ini melaporkan 136,166 di tangga 71 sementara Singapura melaporkan sebanyak 59,235 kes dan angka kematian kekal 29.

Thailand mencatat 12,795 kes dan 71 kematian; Vietnam mencatat 1,546 kes dan 35 kematian; Kampuchea mencatat 456 kes dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara kes COVID-19 di Laos sebanyak 41 kes dan sifar kematian. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas