Berita

COVID-19: Labuan laksana vaksinasi secara pandu lalu di UMSKAL

LOKASI pelaksanaan vaksinasi secara pandu lalu itu, yang terletak di ruang letak kereta UMSKAL dan terhad kepada penerima suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer-BioNTech. Kredit foto oleh: BERNAMA LOKASI pelaksanaan vaksinasi secara pandu lalu itu, yang terletak di ruang letak kereta UMSKAL dan terhad kepada penerima suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer-BioNTech. Kredit foto oleh: BERNAMA
- Diterbit 6 Julai 2021 4:06 PM MYT

LABUAN telah melaksanakan vaksinasi secara pandu lalu hari ini bagi mempercepat program imunisasinya ke arah mencapai imuniti kelompok menjelang akhir bulan ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata buat masa ini, lokasi pelaksanaan vaksinasi secara pandu lalu itu, yang terletak di ruang letak kereta Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), adalah terhad kepada penerima suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

“Kami menjangkakan ramai yang akan hadir mulai 8 Julai ini kerana kebanyakan penerima dos pertama harus mendapatkan suntikan kedua mereka sehampir mungkin dengan sela masa tiga minggu seperti yang disyorkan,” katanya kepada Bernama di tapak pelancaran vaksinasi itu di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan vaksinasi secara pandu lalu itu adalah dengan kerjasama UMSKAL, Majlis Perwakilan Penduduk da Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan.

Dr Ismuni juga berkata Labuan telah memberikan vaksin kepada 55,572 orang atau 81.1 peratus daripada 68,500 populasi dewasa yang layak di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat Isnin dengan 18,019 telah menerima dos kedua mereka.

Beliau berkata pembukaan tiga pusat pemberian vaksin (PPV) di Kolej Matrikulasi Labuan pada 17 Jun, Taman Mutiara Blok L (22 Jun) dan Dewan Foo Chow (29 Jun), sebagai tambahan kepada dua pusat sedia ada di Dewan Darul Kifayah dan Dewan Sri Labuan telah meningkatkan jumlah vaksinasi di antara 900 hingga 1,100 dos sehari kepada lebih 3,000 dos sehari sejak dua minggu lepas.

Dr Ismuni berkata vaksinasi secara jumpa terus itu yang pertama kali dijalankan di Kolej Matrikulasi Labuan menyaksikan lebih 1,000 orang divaksin setiap hari dan langkah itu yang kemudian dipanjangkan ke Dewan Sri Labuan, telah banyak membantu pelaksanaan vaksinasi di wilayah persekutuan meskipun terdapat peningkatan jumlah kes serta kematian dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Beliau turut mengaitkan pencapaian itu dengan kerjasama rapat yang dijalin antara ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan dan penduduk setempat.

Labuan turut menyaksikan peningkatan jumlah orang ramai yang mendaftar untuk vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera dengan 85.3 peratus populasi dewasa mendaftar setakat hari ini berbanding 40.8 peratus pada 1 Jun. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas