Berita

COVID-19: KKM akan adakan perbincangan lanjut mengenai pengurusan pesakit di hospital swasta

- Diterbit 15 Januari 2021 1:36 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) serta pemegang lesen hospital swasta lain dalam masa terdekat berkenaan pengurusan pesakit COVID-19 di hospital swasta.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam satu kenyataan berkata pihaknya berharap pemegang taruh swasta akan dapat mengutarakan segala persoalan dan memanfaatkan sesi libat urus tersebut.

Beliau berkata KKM juga akan meneliti beberapa isu serta kebimbangan yang telah dibangkitkan oleh pihak APHM dalam satu perbincangan awal yang turut disertai pakar klinikal pelbagai bidang KKM pada 13 Jan lepas.

Mengulas lanjut, beliau berkata secara dasarnya, pihak APHM yang mewakili pihak hospital swasta telah menyatakan hasrat untuk berganding bahu dan bersedia merawat pesakit COVID-19 di fasiliti masing-masing.

“Saya amat berpuas hati dengan hasil perbincangan dan semangat kolaborasi serta solidariti yang ditunjukkan oleh semua pihak yang hadir dalam mesyuarat tersebut,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata pada peringkat awal, KKM bersetuju supaya rawatan pesakit COVID-19 berpusat di fasiliti kerajaan, namun pada masa sama, kementerian tidak pernah menghalang mana-mana hospital swasta untuk menawarkan perkhidmatan rawatan bagi pesakit COVID-19.

Bagaimanapun, katanya negara kini sedang menghadapi gelombang ketiga COVID-19 yang jauh lebih mencabar daripada situasi sebelum ini dan sistem kesihatan awam dijangka berdepan cabaran untuk menyediakan perkhidmatan bagi menampung peningkatan ketara kes wabak berkenaan.

Mengikut Ordinan Darurat, KKM mempunyai kuasa untuk mengarahkan hospital swasta merawat pesakit COVID-19. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas