Berita

Covid-19: Kematian cecah 82 termasuk mayat lelaki ditemui di Kota Kinabalu

|
- Diterbit 14 April 2020 12:13 PM MYT

PUTRAJAYA – Kes kematian membabitkan Covid-19 meningkat kepada 82 orang selepas lima kematian direkodkan hari ini termasuk seorang lelaki tanpa identiti di Kota Kinabalu, Sabah pada 6 April lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes berkenaan adalah kematian ke-78 melibatkan individu dipercayai bukan warganegara.

Katanya, bedah siasat terhadap mayat berkenaan mendapati positif Covid-19 dan kes diserahkan kepada polis.

“Kes kematian ke-79 dan 80 pula merupakan lelaki Malaysia berumur 65 dan 73 tahun yang menghidap sakit kencing manis, darah tinggi dan jantung.

“Kes ke-81 dan 82, masing-masing
mempunyai sejarak kontak rapat dengan individu menghadiri perhimpunan di Seri Petaling,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes Covid-19 yang dibenarkan keluar dari wad terus mencatatkan peningkatan iaitu 202 kes dan ia lebih tinggi berbanding 179 kes baharu dilaporkan.

Katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 2,478 kes atau 49.7 peratus, iaitu hampir separuh daripada jumlah keseluruhan kes.

“Bagi kes baharu pula, sehingga pukul 12 tengah hari, terdapat 170 kes baharu yang telah dilaporkan dan jumlah kes positif sebanyak 4,987 kes.

“Setakat ini, seramai 60 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 33 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas