Berita

COVID-19: Kampus USAS ditutup sementara untuk kerja disinfeksi

- Diterbit 10 November 2020 3:37 AM MYT

UNIVERSITI Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar ditutup enam hari bermula hari ini berikutan penularan wabak COVID-19 melibatkan penuntut kampus itu, kata Dekan Hal Ehwal Pelajar USAS Dr Ahmad Zaki Hasan.

Beliau berkata penutupan sehingga 15 Nov itu bertujuan membolehkan kerja-kerja disinfeksi secara menyeluruh dilakukan di seluruh kampus sebelum ia dibuka semula pada 16 Nov.

Ahmad Zaki, yang juga Pengarah Pasukan Bertindak Khas Skuad Op COVID-19 USAS berkata sepanjang tempoh penutupan itu, semua kakitangan universiti diarah bekerja dari rumah kecuali yang terlibat dalam perkhidmatan perlu.

Berikutan penutupan itu, Ahmad Zaki berkata kira-kira 800 pelajar yang tinggal di dalam kampus ketika ini akan mengikuti pengajian secara dalam talian dan mereka tidak dibenarkan meninggalkan asrama atau pulang ke rumah.

“USAS mempunyai seramai 6,000 pelajar, tapi kita diminta mengurangkan jumlah di kampus sehingga 30 peratus jadi sekarang ada hanya kira-kira 1,300 orang. Tapi disebabkan cuti umum minggu lepas, ada pelajar yang menginap di asrama pulang ke rumah tidak dapat balik ke kampus kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jadi sekarang di kampus ada hanya kira-kira 800 orang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengenai keluhan ibu bapa atau keluarga terhadap arahan USAS tidak membenarkan penuntut meninggalkan kampus, Ahmad Zaki berkata ia bertujuan mengelak sebarang kemungkinan termasuk penyebaran wabak COVID-19 memandangkan terdapat Kluster Rengas di Kuala Kangsar ketika ini.

Katanya, arahan itu bertujuan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian kerana capaian Internet yang laju di kampus selain larangan rentas daerah serta negeri susulan PKPB ketika ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa atau keluarga supaya tidak bimbang kerana pihak universiti sentiasa menjaga kebajikan dan keperluan pelajar selain mereka juga dibenarkan untuk keluar ke pekan membeli makanan atau barangan keperluan harian.

Ahmad Zaki berkata dua penuntut USAS, masing-masing seorang lelaki dan wanita disahkan positif COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan pada 8 dan 9 Nov, yang merupakan jangkitan Kluster Rengas.

“Setakat ini, tiga pelajar serta 30 pensyarah telah menjalani ujian calitan dan kini menjalani kuarantin kendiri di rumah atau dewan khas yang disediakan di dalam kampus,” katanya.

Setakat 12 tengah hari semalam, jumlah keseluruhan kes positif wabak COVID-19 daripada Kluster Rengas adalah sebanyak 101 kes. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas