Berita

COVID-19: Jumlah kes kini melepasi 150,000 dengan 3,211 kes baharu

- Diterbit 15 Januari 2021 12:28 PM MYT

JUMLAH keseluruhan kes COVID-19 di Malaysia hari ini melepasi 150,000 dengan jumlah kes harian direkodkan sebanyak 3,211 kes dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes harian itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 sebanyak 151,066, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan kini 35,253.

“Daripada keseluruhan kes baharu yang direkodkan hari ini lima daripadanya merupakan kes import dan selebihnya adalah penularan tempatan,” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi dengan 889 kes, diikuti Johor (535 kes) dan Sabah sebanyak 514 kes.

Selain itu, lapan kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian dalam negara sebanyak 586 kes daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes kematian itu melibatkan dua mangsa di Sabah, empat kes di Selangor serta masing-masing satu kes di Kedah dan Johor, yang kesemua mangsa berumur antara 62 hingga 79 tahun.

Sementara itu, antara kluster yang mencatatkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Bukit Pasir sebanyak 171 kes, Kluster Tapak Bina Damai (130 kes) dan Kluster Beringin (112 kes).

Mengenai kluster baharu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat penambahan 12 kluster hari ini dengan tujuh kluster tempat kerja iaitu Kluster Jalan Telok Gong, Kluster Lingkaran Lintang, Kluster Persiaran Selatan, Kluster Jalan Kluang, Kluster Ladang Matamba, Kluster Tapak Bina Damai dan Kluster Restoran Putra.

Lain-lain kluster termasuk Kluster Kampung Perani, Kluster Ladang Baturong, Kluster Pondok Hidayah, Kluster Kota Road dan satu kluster tahanan iaitu Kluster Tembok Kemus.

Kluster Jalan Telok Gong melibatkan Klang, Selangor catat 108 kes dikesan positif COVID-19; Kluster Lingkaran Lintang juga di Klang, Selangor (25 kes) dan Kluster Persiaran Selatan di Johor Bahru, Johor dengan 61 kes.

Kluster Jalan Kluang melibatkan Batu Pahat, Johor merekodkan 18 kes positif COVID-19, Kluster Ladang Matamba di Lahad Datu, Sabah (20 kes); Kluster Tapak Bina Damai di Cheras, Kuala Lumpur (130 kes) dan Kluster Restoran Putra terletak di Presint 9, Putrajaya dengan 19 kes.

Sementara itu, Kluster Kampung Perani dikesan di Kota Tinggi, Johor mencatatkan 18 kes; Kluster Ladang Baturong melibatkan Kunak, Sabah (54 kes); Kluster Pondok Hidayah di Machang, Kelantan (15 kes); Kluster Kota Road di Kinta, Larut, Matang dan Selama, Perak (18 kes) manakala Kluster Tembok Kemus dengan 22 kes.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan kluster adalah sebanyak 635 manakala kluster yang telah tamat berjumlah 351 termasuk empat yang tamat hari ini iaitu Kluster Bah Medan, Kluster Jalan Dalam, Kluster Nibong dan Kluster Dermaga.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau sebanyak 284 kluster dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 85 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.

Dalam pada itu, bilangan kes pulih COVID-19 hari ini mencatatkan 1,939 kes, menjadikan jumlah kumulatif sembuh sepenuhnya virus itu sebanyak 115,227 atau 76.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya terdapat 204 pesakit yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 87 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas