Berita

Covid-19: Jalan, lorong ke Pasar Chow Kit ditutup mulai esok

Pita kuning direntangkankan sebagai tanda laluan ke Pasar Jalan Raja Bot ditutup. Foto Facebook DBKL
- Diterbit 26 Mac 2020 9:25 AM MYT

KUALA LUMPUR – Beberapa jalan menuju Pasar Jalan Raja Bot (Pasar Chow Kit) di sini akan ditutup berkuat kuasa esok (27 Mac) untuk mengawal lalu lintas sejajar dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 di negara ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, jalan yang terlibat adalah Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), Jalan Raja Abdullah sehingga Jalan Raja Alang, Jalan Raja Abdullah sehingga Jalan Raja Bot.

“Turut ditutup adalah Lorong Raja Bot, Lorong Haji Hussein dan Lorong Haji Hussein 1.

“Laluan untuk ke pasar adalah melalui Jalan TAR manakala jalan keluar adalah Jalan Raja Alang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Fahmi Visuvanathan turut mengingatkan orang awam bahawa hanya seorang ahli keluarga sahaja dibenarkan keluar membeli barang keperluan di pasar.

Tegas beliau, semua pengunjung juga mesti menjaga jarak sosial satu meter, kerap membasuh tangan dan dinasihatkan memakai topeng muka. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas