Berita

COVID-19: Indonesia kembali “lockdown”

KES baharu COVID-19 di Indonesia meningkat mendadak sejak dua minggu lepas berikutan kegiatan balik kampung semasa sambutan Aidilfitri lepas selain kehadiran varian Delta yang lebih cepat menular. Kredit foto: Donal Husni/ZUMA Wire/dpa
- Diterbit 1 Julai 2021 8:00 AM MYT

INDONESIA kembali mengetatkan lagi protokol kesihatan COVID-19 bermula 3 hingga 20 Julai berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di republik itu, dengan jumlah kes mencecah lebih 2.1 juta selain kes baharu harian melampui 20,000.

Presiden Joko Widodo dalam siaran langsung menerusi melalui laman YouTube Sekretariat Presiden hari ini mengumumkan pemerintah akan menerapkan Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) di Pulau Jawa dan Bali.

Kes baharu COVID-19 di Indonesia meningkat mendadak  sejak dua minggu lepas berikutan kegiatan balik kampung semasa sambutan Aidilfitri lepas selain kehadiran varian Delta yang lebih cepat menular.

Sejak 24 Jun lepas, kes positif harian meningkat melepasi angka 20,000 kes, sedangkan sebelum sambutan Aidilfitri kes harian pernah dicatatkan di bawah angka 4,000 kes.

Pelaksanaan PPKM Darurat itu melibatkan 48 kabupaten dan kota dengan menyasarkan kes baharu turun di bawah 10,000 kes.

Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat-pusat membeli belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor non essential, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restauran, kedai makan atau warung (dine in) dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan reakreasi ditutup. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas