Berita

COVID-19: Darurat, PKP 2.0 untuk turunkan kes harian baharu dalam negara

- Diterbit 15 Januari 2021 4:10 AM MYT

PENGISYTIHARAN Darurat dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) menjadi serampang dua mata untuk mengekang penularan COVID-19 di negara ini daripada merebak luas yang boleh melumpuhkan sistem kesihatan awam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipetik pada 14 Januari sebagai berkata, usaha melandaikan semula lengkungan dijangka menunjukkan hasil menjelang Mei atau Jun 2021.

Ini, katanya, berdasarkan situasi semasa dan kadar kebolehjangkitan atau R Naught (Ro) melebihi 1.0.

Beliau turut menyifatkan tempoh dua minggu pelaksanaan PKP 2.0 yang meliputi enam buah negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – sebagai “sangat kritikal’’.

KKM menyasarkan untuk menurunkan kes harian kepada antara 500 hingga 1,000 kes sehari.

Sebelum tindakan drastik kerajaan ini, Malaysia dibelenggu peningkatan kes harian yang agrsif dan dikhuatiri oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh mencapai antara 4,000 hingga 8,000 kes sehari menjelang bulan Mei 2021.

Unjuran KKM kes harian COVID-19 antara 4 Januari hingga 31 Mei 2021 sekiranya Ro kekal 1.2 dengan angka kes harian antara 3,000 untuk minggu kedua Februari, 5,000 kes harian minggu kedua April dan 8,000 kes harian pada minggu keempat Mei, 2021.

Tanda-tanda ke arah peningkatan besar kes harian sudah dapat dilihat apabila Malaysia mencatat rekod kes harian tertinggi, sejak pandemik COVID-19 melanda negara ini.

Semalam 14 Januari, negara mencatat kes harian baharu tertinggi sebanyak 3,337 kes (3,330 penularan dalam negara dan 7 kes import), sejak pandemik COVID-19 membadai Malaysia.

Pada Selasa 12 Januari, sebanyak 3,309 kes harian baharu direkod dan sebelum itu, sebvanyak 3,027 kes positif COVID-19 diumumkan pada Khamis 7 Januari 2021.

Untuk rekod, kes baharu harian sepanjang rangkuman 9 Januari hingga 14 Januari 2021 –   2,451 kes (9 Jan), 2,433 kes (10 Jan), 2,232 kes (11 Jan), 3,309 kes (12 Jan), 2,985 kes (13 Jan) dan 3,309 (14 Jan).

Dengan jumlah keseluruhan kes COVID-19 negara kini berjumlah 147,855 kes, Malaysia yang pada hari Rabu berada di tangga 68, kini melonjak ke tangga 65, dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik, memintas Greece (147,283 kes), Guatemala (146,937 kes) dan Qatar (146,689 kes). Di hadapan Malaysia ialah Palestin dengan 150,505 kes.

Negara China yang melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung tahun 2019, di tangga ke-82 dengan 87,988 kes, sementara negara jiran Singapura di tangga ke-88 dengan 59,029 kes.

Malaysia turut mencatat kes empat angka dalam lingkungan dua ribu pada 1 Jan 2021 (2,068 kes),  26 Disember (2,335 kes), 22 Disember (2,062 kes), 21 Disember (2,018 kes), 10 Disember (2,234 kes),  31 Dis (2,525) dan  24 November (2,188 kes).

 

LANGKAH DRASTIK KERAJAAN

 

Pelbagai langkah diambil kerajaan sejak Gelombang Ketiga pandemik COVID-19 melanda negara pada 20 September 2020 sehingga membawa kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari 2021 memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan perlaksaan PKP 2.0, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) untuk tempoh 12 Januari hingga 26 Januari 2021.

Enam negeri yang dikuatkuasakan PKP 2.0 adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Negeri-negeri yang dikenakan PKP 2.0 ditakrifkan negeri berisiko tinggi oleh KKM, terutamanya Selangor yang pada kebanyakan hari rangkuman mingguan mencatat kes harian COVID-19 yang tinggi sehingga mencecah lingkungan seribu kes sehari.

Enam negeri yang dikenakan PKPB pula adalah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, sementara Perlis dan Sarawak diletakkan di bawah PKPP.

Bukan sahaja berdepan dengan peningkatan agresif kes harian, KKM juga bimbang negara berdepan dengan penularan varian baharu COVID-19 yang dilaporkan di luar negara termasuk di United Kingdom (UK)  yang dipanggil B117 dan dan Afrika Selatan, varian dikenali 501Y.V2.

Sementara itu, Dr Noor Hisham sebelum ada memaklumkan bahawa KKM mengesan satu kes VOVID-19 varian B117 UK pada 12 Januari lalu, melibatkan seorang pengembara yang kembali ke tanah air dan dikesan positif pada 28 Disember 2020.

Pesakit berusia 22 tahun itu dilaporkan sudah pulih sepenuhnya dan didiscaj. Varian baru B117 ini dilaporkan dikesan di UK pada sekitar September 2020, sementara varian baharu di Afrika Selatan, dikesan sekitar Oktober 2020.

 

KLUSTER DINAMAKAN IKUT LOKALITI 

 

Malaysia mencatat sebanyak 623 kluster sehingga 14 Januari 2021, dan daripada jumlah itu, sebanyak 347 kluster diisytihar tamat sementara 276 kluster lagi dilaporkan aktif dan sedang dipantau.

Daripada 276 kluster tersebut, 78 kluster melaporkan pertambahan kes dengan yang tertinggi, Kluster Beringin (177 kes), Kluster Sungai Putus (157 kes) dan Kluster Pasai (157 kes).

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan (9 Jan – 14 Jan), Kluster Tempat Kerja (KTK) masih ketara di samping kluster akibat rentas negeri, kluster hasil saringan individu bergejala, kluster di pusat dialisis dan kluster yang berpunca daripada majlis perkahwinan. Terdapat juga kes positif hasil saringan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI).

Rekod kluster sepanjang 9 Jan – 14 Jan adalah  5 kluster (9 Jan), 5 kluster (10 Jan) , 8 kluster (11 Jan), 11 kluster (12 Jan), 11 kluster (13 Jan) dan 7 kluster ( 14 Jan).

KKM pada kali ini turut menamakan kluster mengikut lokasi di mana kluster dikesan.

Antara KTK yang merekodkan banyak kes ketika dikesan adalah pada 12 Januari dan 13 Januari.

Pada 12 Januari, lima KTK dilaporkan daripada 11 kluster baharu, iaitu tiga (3) di WPKL dan dua (2) di Selangor. Antara KTK ialah Kluster Jalan Manan, Meru, Klang, hasil saringan bersasar di sebuah kilang. Sebanyak 83 kes positif dikesan sehingga 12 Januari.

Di samping itu, terdapat dua (2) kluster melibatkan pusat dialisis dilaporkan iaitu Kluster Dialisis Putra melibatkan pusat dialisis di WP Putrajaya, Presint 9 dengan 10 kes positif sehingga 12 Januari, dan Kluster Dialisis Batu, pusat dialisis di Taman Perindustrian IKS, Batu Caves, Selangor dengan enam (6) kes positif setakat 12 Januari lalu.

Sementara pada 13 Januari, daripada 11 kluster baharu, dilaporkan tujuh (7) KTK iaitu dua (2) di Selangor, dua (2) di Johor, dua (2) di WP KL dan satu di Kedah.

Kedua-dua KTK di Selangor adalah hasil saringan bersasar, iaitu Kluster Taman Integrasi melibatkan sebuah kilang di Rawang Integrated Industrial Park dan sehingga 13 Januari, 119 kes dikesan positif sementara Kluster Jalan Ijuk membabitkan sebuah kilang di Jalan Ijuk 26/5, Hicom Industrial Estate, Shah Alam dan sebanyak 99 kes positif, setakat 13 Januari lalu.

Kluster KTK , Kluster Jalan Rami di Muar, Johor pula adalah hasil saringan sebelum pulang ke negara asal dan sebanyak 112 kes positif dikesan sehingga 13 Januari. Ini melibatkan sebuah kilang di Jalan Rami 4, Kawasan Perindustrian Bukit Pasir, Muar, Johor.

Terdapat satu kluster melibatkan majlis perkahwinan di Negeri Sembilan, dan Kluster Kampung Tengah ini mengambil nama lokasi di mana ia diadakan iaitu di Kampung Tengah, Mantin Dalam, Mantin, Seremban. Sehingga 13 Januari lalu, sebanyak 20 kes daripada 130 individu yang disaring adalah positif.

Pada 14 Januari, terdapat tujuh (7) kluster baharu termasuk Kluster Jalan Selayang yang melibatkan daerah Gombak, Selangor. Kluster ini adalah hasil saringan bersasar di sebuah pasaraya di Jalan Selayang Baru dan sebanyak 84 kes dikesan positif daripada 511 individu yang disaring.

Satu lagi kluster yang merekod kes positif yang tinggi setakat semalam ialah Kluster Tropika melibatkan hasil saringan tahanan dan kontak rapat di sebuah pusat tahanan. Lokaliti pusat tahanan ini adalah di Jalan Setia Tropika, Johor Bahru dan setakat 14 Januari, sebanyak 55 kes positif dikesan.

 

PERINCIAN KES COVID-19 DI MALAYSIA

 

KKM melaporkan perincian 3,337 kes positif baharu COVID-19 dengan Selangor masih menyumbang jumlah kes terbanyak semalam iaitu 1,036 kes termasuk satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Selayang. Selangor juga melaporkan dua (2) kes import.

Johor merekod 460 kes dengan dua kluster baharu iaitu Kluster Tropika dan Kluster Pasir Barat; Sabah 389 kes; WP Kuala Lumpur 257 kes termasuk empat (4) kes import dan dua kluster baharu, Kluster Tapak Bina Dutamas dan Kluster Jalan Pahang; Pulau Pinang 234 kes dan Sarawak 180 kes termasuk satu (1) kes import.

Negeri Sembilan melaporkan 169 kes termasuk satu kluster baharu, Kluster Jalan Rantau-Siliau; Pahang 113 kes; Perak 92 kes; Terengganu 89 kes; Kedah 86 kes; Melaka 85 kes; Kelantan 85 kes; WP Labuan 34 kes; WP Putrajaya 24 kes dan Perlis empat (4) kes.

Sementara itu, KKM melaporkan sehingga 14  Januari 2021, sebanyak 1,710 kes telah sembuh, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 113,288 kes (76.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Untuk rekod, kes sembuh sepanjang 9 Jan hingga 14 Jan adalah 1,401 kes (9 Jan), 1,277 kes (10 Jan), 1,006 kes (11 Jan), 1,469 kes (12 Jan), 994 kes (13 Jan) dan 1,710 kes (14 Jan).

Sementara itu, seramai 195 pesakit COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 86 kes memerlukan bantuan pernafasan.

KKM juga jumlah kes kematian tertinggi semalam iaitu 15 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 578 kes ( 0.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Rekod kes kematian sepanjang tempoh rangkuman adalah 5 kes (9 Jan), 9 kes (10 Jan), 4 kes ( 11 Jan), 4 kes (12 Jan), 4 kes (13 Jan) dan 15 kes (14 Jan). Kes kematian semalam melibatkan lapan (8) kes di Sabah, tiga (3) kes di Selangor, dua (2) kes di Johor dan masing-masing satu di Johor dan WP Putrajaya.

 

STATISTIK GLOBAL COVID-19

 

Setakat rangkuman mingguan ini, kes COVID-19 global sebanyak 93,530,100 kes (rangkuman minggu lalu 88,495,963 kes) dengan  2,002,347 kematian (minggu lalu 1,906,630  kematian) , Jumlah pesakit sembuh, 66,810,235 (minggu lalu 63,606,252).

Terdapat 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Rusia, United Kingdom, Perancis, Turki, Itali, Sepanyol dan Jerman.

Pecahan kes COVID-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 23,848,410 kes (397,994 kematian), India 10,528,508 kes (151,954 kematian), Brazil 8,326,115 kes (207,160 kematian), Rusia 3,495,816 kes (63,940 kematian), United Kingdom 3,260,258 kes (86,015 kematian), Perancis 2,851,670 kes (69,313 kematian), Turki 2,364,801 kes (23,495 kematian), Itali 2,336,279 kes (80,848 kematian), Sepanyol 2,211,967 kes (53,079 kematian) dan Jerman 2,003,985 kes (45,492 kematian).

Sementara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-82 dengan 87,988 kes dan angka kematian kekal 4,634.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina turut menyertai senarai 80 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Indonesia merekod 869,600 kes dengan 25,246 kematian, di tangga 20 sementara Filipina melaporkan 494,605 kes dengan 9,739 kematian, di tangga 32.

Myanmar minggu ini melaporkan 132,865 kes di tangga 70 sementara Singapura melaporkan sebanyak 59,029 kes dan angka kematian kekal 29.

Thailand mencatat 11,262 kes dan 69 kematian; Vietnam mencatat 1,531 kes dan 35 kematian; Kampuchea mencatat 426 kes dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara kes COVID-19 di Laos sebanyak 41 kes dan sifar kematian. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas