Berita

COVID-19: 3,306 kes baharu, empat kematian hari ini – KP Kesihatan

DR. NOOR HISHAM
- Diterbit 18 Januari 2021 12:17 PM MYT

SEBANYAK 3,306 kes baharu COVID-19 dan empat kematian  direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif jangkitan kes mencecah 161,740 kes manakala jumlah keseluruhan korban akibat wabak itu di negara ini sebanyak 605 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes positif baharu hari ini terdapat tujuh kes import dikesan manakala 3,299 adalah penularan tempatan membabitkan 2,198 warganegara dan 1,101 bukan warganegara.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pada hari ini ialah 38,791 kes dengan 226 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 94 kes memerlukan  bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata bilangan kes sembuh COVID-19 adalah 2,293 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sepenuhnya sebanyak 122,344 atau 75.6 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengenal pasti sembilan kluster baharu COVID-19.

Beliau berkata kluster baharu itu dikesan di Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Johor, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pahang yang mana tujuh daripadanya membabitkan kluster tempat kerja.

Menurut beliau, kluster tempat kerja ialah Kluster Taman Tasik Sungai Chua di Hulu Langat, Selangor; Kluster Kompleks Segamaha di Kinabatangan, Sabah; Kluster Jalan Bukit Bendera di Kota Kinabalu, Papar dan Beaufort di Sabah dan Kluster Tapak Bina Jalan Nipah di Titiwangsa Kuala Lumpur.

Tiga lagi kluster baharu membabitkan tempat kerja ialah Kluster Tapak Bina Era Duta di Kepong, Kuala Lumpur; Kluster Jalan TJ di Seremban dan Kluster Cafe Genting di Genting Highlands Pahang, katanya.

Sementara dua lagi kluster baharu dikesan hari ini ialah Kluster Jalan Suria melibatkan sebuah pusat perubatan swasta di Jalan Suria, Johor Bahru dan Kluster Pulau Lima di Pasir Puteh, Kelantan hasil saringan individu bergejala. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas