Berita

COVID-19: 27 institusi pendidikan Thailand di kawasan kawalan ketat dibuka semula bermula Februari

- Diterbit 27 Januari 2021 2:24 PM MYT

SEMUA institusi pendidikan di 27 kawasan yang dikawal ketat di Thailand akan dibuka semula mulai 1 Februari dengan pematuhan kepada langkah-langkah pencegahan COVID-19 untuk membendung penyebaran virus, kata Menteri Pendidikan, Nataphol Teepsuwan.

Bagaimanapun, institusi pendidikan di Samut Sakhon, wilayah berada di bawah “zon kawalan paling ketat” oleh Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) bermula pertengahan Disember lalu, kekal ditutup memandangkan situasi di kawasan itu masih membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, institusi pendidikan di Bangkok dan kawasan berhampiran termasuk Nonthaburi, Samut Prakan, Nakhon Pathom dan Pathum Thani akan dibuka semula dengan mengehadkan hanya 25 pelajar di dalam kelas.

“Sekiranya bilik darjah tidak mampu menampung keperluan itu, pihak institusi perlu mengatur bagi membolehkan pelajar ke sekolah mengikut penggiliran,” katanya.

Berikutan penularan terbaru di Samut Sakhon pada pertengahan Disember, semua institusi pendidikan di 28 kawasan terkawal diperintahkan ditutup mulai 4 Januari.

Terkini, Thailand mencatatkan 15,465 kes COVID-19 dan 76 kematian. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas