Coldplay menyokong perjuangan Palestin – Anwar
Kredit foto: Jabatan Penerangan

Coldplay menyokong perjuangan Palestin – Anwar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung keperluan untuk meneruskan penganjuran konsert kumpulan Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang bakal berlangsung esok di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Anwar berkata ia susulan terdapat pelobi daripada gerakan penyokong pejuang Palestin yang menyokong penganjuran konsert berkenaan dan pada masa sama ada pihak lain yang menyarankan agar konsert itu dibatalkan.

“Coldplay ini antara kumpulan yang sokong Palestin, jadi ada masalah sikit saya nak beritahu, dalam kerajaan yang lepas telah luluskan (konsert) juga. Saya akan bincang dengan mufti (berhubung) keadaan ini.

“Kerana ada pelobi-pelobi dari gerakan Palestin yang menyokong dan memberikan pandangan kepada Menteri Luar dan pejabat saya mengapa dihalang kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berhubung pendirian kerajaan dalam penganjuran konsert berkenaan, memandangkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah meminta supaya penganjuran konsert itu tidak diteruskan kerana disifatkan sebagai melalaikan.

Menurutnya, band asal United Kingdom (UK) yang menyokong kumpulan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) itu jelas bertentangan dengan nilai murni serta budaya Malaysia.

Sebelum ini, terdapat beberapa pihak yang turut menyarankan supaya konsert berkenaan dibatalkan bagi menghormati situasi semasa yang berlaku di Gaza, Palestin, selain bimbang insiden tidak senonoh dilakukan kumpulan pop rock dikenali sebagai The 1975 pada Julai lepas berulang.

Dijangkakan, seramai 85,000 penonton bakal memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil, bagi menyaksikan persembahan band tersohor yang dibarisi Chris Martin, Johny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion. – WILAYAHKU

Share This