CIDB tawar vaksin COVID kepada 40,000 pekerja sektor pembinaan
MAJIKAN dalam sektor pembinaan hanya perlu membayar RM90 untuk setiap seorang pekerja yang divaksin. Kredit foto oleh: Sinar Harian

CIDB tawar vaksin COVID kepada 40,000 pekerja sektor pembinaan

LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini menawarkan vaksinasi COVID-19 untuk 40,000 pekerja dalam sektor pembinaan bagi mempercepat kadar vaksinasi barisan hadapan ekonomi.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu telah dipersetujui Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) selepas menerima cadangan pelaksanaan program vaksinasi sektor berkenaan pada 14 Jun lepas.

“Melalui program ini, pihak swasta perlu menyediakan dan membiayai sendiri pasukan petugas dan pegawai perubatan bertauliah serta pusat pemberian vaksin (PPV) manakala bekalan serta penghantaran vaksin akan diberikan secara percuma oleh kerajaan.

“Dalam hal ini, CIDB akan menyelaras dan memudah cara pelaksanaan program pemberian vaksin ini bagi pihak industri pembinaan. Ini adalah sebahagian daripada sumbangan CIDB dalam membantu penggiat industri pembinaan terutamanya pada waktu yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadillah berkata caj pemberian vaksin yang akan dikenakan melalui program ini ialah RM140 seorang untuk dua dos suntikan vaksin yang lengkap, dan bagi meringankan beban kewangan pihak industri, CIDB akan memberikan subsidi RM50 untuk seorang pekerja selain menawarkan secara percuma premis CIDB sebagai PPV.

“Ini bermakna majikan dalam sektor pembinaan hanya perlu membayar RM90 untuk setiap seorang pekerja yang divaksin.

“Penyertaan untuk program ini adalah secara sukarela dan dalam hal ini penggiat industri pembinaan boleh memilih untuk mengadakan program pemberian vaksin sendiri kepada pekerja mereka dengan berurusan secara terus dengan CITF,” katanya.

Beliau berkata program pemberian vaksin berkenaan akan dilaksanakan di Kuala Lumpur pada 30 Jun serta seluruh Selangor pada 14 Julai.

Penggiat industri pembinaan yang ingin mendaftarkan pekerja mereka dalam program pemberian vaksin berkenaan boleh berbuat demikian bermula 21 Jun ini di laman web http://vaccine.cidblink.com atau hubungi talian 03-40428880 untuk sebarang pertanyaan. – BERNAMA

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )