Berita

Choon How cipta rekod peribadi

AKSI hebat Choon How dalam temasya Sukan SEA baru-baru ini.
- Diterbit 6 Disember 2019 11:49 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

TIADA kata yang dapat diungkapkan atlet wushu negara, Loh Choon How apabila berjaya menghadiahkan pingat emas pertama kepada Malaysia pada edisi ke-30 Sukan SEA 2019 di Filipina baru-baru ini.

Tidak menyasarkan sebarang pingat emas pada permulaannya, namun atlet berusia 26 tahun ini mengakui dia hanya fokus untuk melakukan yang terbaik pada temasya tersebut.

“Sehingga saat ini saya masih tidak menyangka akan beroleh kemenangan. Bagaimanapun ia benar-benar menggembirakan saya kerana berjaya mengharum­kan nama Malaysia,” ujarnya.

Tambah atlet yang berasal dari Kuala Lumpur ini, sepanjang kejohanan berlangsung, kesemua pesaing terdiri daripada mereka yang hebat namun mujurlah sedari awal lagi dia sudah mempersiapkan diri.

“Latihan yang berterusan setiap pagi dan petang selama ini banyak membantu menyumbang kepada kemenangan saya. Dalam masa sama, saya tidak terlalu memaksa diri kerana tidak mahu tertekan.

“Jika kita hanya memikirkan kemenangan semata-mata sudah pasti diri akan merasa terbeban sekali gus akan cepat kecundang sebelum berakhir perlawanan,” ujarnya kepada Wilayahku.

CHOON How (tengah) menunjukkan pingat yang dimenangi dalam acara Wushu Taijian Lelaki Sukan SEA di Filipina baru-baru ini.

Berjaya mengungguli acara taijijian dengan 9.68 mata seterusnya mengetepikan pencabar terdekat, Jones Liabres yang mengutip 9.65 mata dan atlet Brunei, Hosea Wong sebanyak 9.60 mata, Choon How membuktikan wushu adalah sukan yang hebat.

“Ini adalah skor tertinggi saya sepanjang bergiat aktif dalam sukan ini. Ia juga merupakan bonus kepada kontijen Malaysia dalam misi meraih 70 pingat emas,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman ketika di Pusat Dagangan Dunia, Filipina itu, Choon How berkata, peserta yang bertanding rata-ratanya merupakan atlet profesional yang membawa misi negara masing-masing.

“Mereka menunjukkan prestasi yang tinggi. Secara tidak langsung ia turut menjadikan temasya ini menarik dan berwarna-warni,” ujarnya yang turut merakamkan ucapan terima kasih kepada tim Malaysia yang tidak putus memberi sokongan.

Minat Jet Li

Menjadikan bintang filem aksi Jet Li (bekas atlet wushu) sebagai idola dalam sukan tersebut, Choon How mengakui dia gemar menonton lakonan pelakon terkenal China itu.

“Dia adalah bintang wushu yang tidak asing lagi. Gerakannya yang cepat dan tangkas membuatkan saya begitu mengkaguminya sejak dari kecil lagi.

“Jika ada masa terluang, saya akan menghabiskan masa menonton aksinya bersama keluarga. Secara tidak langsung, minat dalam sukan tersebut bercambah,” ujar anak keempat daripada lima orang adik-beradik.

Tidak pernah terfikir untuk meninggalkan sukan yang diminatinya ini, Choon How bercita-cita untuk bergelar jurulatih supaya dapat menurunkan ilmu pengetahuan kepada generasi akan datang.

“Wushu adalah antara seni mempertahankan diri purba China yang telah pun mendapat tempat dalam kejohanan bertaraf dunia. Amat rugi seandainya kita tidak melatih generasi baharu dalam sukan ini,” kata­nya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas