Selebriti

Chef Naem bawa resipi ibu ke hotel bertaraf antarabangsa

|CHEF Naem bersama ibunya
- Diterbit 10 Mac 2022 12:58 AM MYT

CHEF selebriti yang juga pengacara program masakan televisyen, Chef Naim meluahkan rasa syukur apabila rezekinya semakin murah selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Terbaharu, pemilik nama sebenar Muhammad Naim Ramli,29, diberi kepercayaan hotel bertaraf antarabangsa, Hotel Le Meridien Putrajaya untuk mengetuai barisan chef bagi bufet Ramadan yang bakal menjelma tidak lama lagi.

CHEF Naem bersama ibunya, Haslina Munir

Ibarat impian menjadi kenyataan, Chef Naem percaya itu adalah tuah resipi masakan ibunya, Haslina Munir, 57.

“Ini adalah salah satu impian saya. Kata orang, ibaratnya kalau mati pun dah boleh tenang.

“Ini adalah satu pencapaian tinggi bagi diri saya apabila berkolaborasi dengan jenama antarabangsa. Bukan senang orang nak panggil sedangkan saya masih baharu dalam bidang ini.

“Saya anggap ini rezeki mak, isteri, anak-anak dan orang-orang yang selalu doakan saya. Jadi bila dapat peluang ini memang saya all out,” katanya yang teruja bekerjasama dengan hotel ternama itu.

BERTEMAKAN Destinasi Rasa, Chef Naem memperkenalkan menu Melayu sempena bufet Ramadan Hotel Le Meridien

Bertemakan Destinasi Rasa, Chef Naem mahu memperkenalkan semula menu-menu Melayu yang mungkin sudah semakin dilupai.

“Sempena Ramadan ini, saya menyediakan 20 resepi Melayu yang saya belajar daripada mak. Dalam masa yang sama, ada beberapa resepi hasil daripada pengalaman saya menjadi chef dan pengacara televisyen.

“Kali ini juga adalah sebagai memenuhi permintaan peminat yang mahukan air tangan saya. Jadi, Ramadan ini adalah masa untuk mereka menikmati juadah Melayu yang disediakan saya.

“Antara menu wajib dinikmati adalah Sambal Lado. Sambal Lado adalah menu pertama yang saya belajar daripada mak ketika berumur 12 tahun. Menu inilah yang menyebabkan saya bergelar tukang masak.

“Disebabkan belajar masak sambal lado itulah membuatkan saya berminat untuk duduk di dapur. Macam-macam resipi saya belajar daripada mak,” ujar anak jati Kuala Lumpur ini lagi.

Menurut Chef Naem, ibunya yang juga suri rumah sepenuh masa sentiasa sibuk dengan kerja-kerja rumah.
Kesibukan ibunya itu memberi peluang kepadanya untuk mempelajari pelbagai resepi.

“Sebenarnya ia berlaku secara tak sengaja. Mak saya suri rumah. Banyak kerja dia kena buat. Saya lima beradik, tapi saya yang berani duduk depan kuali yang panas. Jadi, mak selalu suruh saya tolong saya jaga masakannya di dapur ketika dia sedang kemas rumah atau jemur kain.

“Sejak itu apa yang mak masak macam rendang, masak lemak atau lain-lain, saya rasa wangi dan teruja untuk sentiasa bantu mak di dapur.

“Saya pun ada minta mak ajar masak dan dia ajar asas seperti potong bawang, macam mana nak tengok ikan segar sehinggalah akhirnya pelbagai menu yang berjaya di masak, ” ujarnya.

Pesan ibunya, jika ingin masakan sedap kena masak perlahan-lahan.

“Misalnya Sambal Lado . Tip untuk dapatkan sambal lado yang sedap adalah pemilihan bawang dan tumisan menggunakan api kecil. Masak ni tak boleh nak cepat-cepat.

“Kalau kita masak sambal sampai merecik ke luar kuali, itu maksudnya kita tergesa-gesa. Kalau masak sambal dalam kuantiti yang banyak perlu empat jam atas dapur.

“Bukan sahaja sambal, nak masak rendang pun perlukan api yang perlahan. Kata orang, benda yang baik ni kena banyak sabar. Barulah hasilnya sedap,” ujarnya yang pernah menjadi pengacara untuk program televisyen seperti Dapur Panas, Hero Oven, Sembang Sahur dan banyak lagi.

Selain ibunya yang menjadi inspirasi, Che Naem juga bertuah dikurniakan isteri yang juga Pegawai Polis, Nurul Syazwani Zulkaffli dan anak-anak mereka Adra Humairah dan Muhammad Adwa Hakimi.

Destinasi Rasa 2022

Sempena Ramadan yang bakal disambut tidak lama lagi, pasti anda mencari menu atau masakan Melayu yang boleh mengembalikan memori masakan ibu di kampung.

Melihat kepada permintaan yang tinggi terhadap menu Melayu, Chef Naem menampilkan pelbagai menu menarik di Hotel Le Meridien.

LEBIH 100 menu bakal disajikan di Hotel Le Meridien Putrajaya sepanjang Ramadan ini.

Lebih 100 menu bakal disajikan antaranya adalah Sambal Lado, Rendang Pucuk Ubi, Kari Kambing Bakar, Rendang Hijau Itik Salai, Kulat Masak Lemak Belimbing, Kambing Percik, Udang Masak Ros dan Rendang Kerbau.

Tidak cukup dengan itu, anda berpeluang merasa juadah istimewa lain seperti Asam Pedas Ikan Jenahak, Sup Ekor, Sup Kambing, Laksa Kari Nyonya, sate, aneka manisan dan buah-buahan serta banyak lagi.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi talian 03-86896888 atau layari laman sesawang www.lemeridienputrajaya.com – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas