Berita

Che Nah Nasi Dagang meninggal dunia

ALLAHYARHAMAH Che Nah melakukan sujud syukur sebaik sahaja menerima lesen penjaja yang disampaikan sendiri oleh Tan Sri Annuar Musa, di Jalan Setia Bakti pada tahun lalu.
- Diterbit 30 November 2021 8:36 AM MYT

INGAT lagi mak cik yang viral tidak lama dulu selepas sujud syukur kerana dapat lesen berniaga di Bukit Damansara?

Che Nah atau Minah Awang, 72, telah kembali ke rahmatullah pagi tadi.

Kisah Che Nah pernah viral selepas beliau menerima lesen penjaja yang diberikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa.

Che Nah sujud syukur kerana tidak menyangka akan diberikan lesen selepas permohonannya ditolak berkali-kali.

Annuar yang kini Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berkongsi kisah pemergian Che Nah di akaun Facebook miliknya.

Beliau mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarhamah.

Sementara itu, warga netizen turut sama bersedih dengan pemergiaan Che Nah.

Ruangan komen di posting tersebut dipenuhi dengan ucapan takziah.

“Patut la pagi ni nak beli nasi kerabu tak nampak lorinya. Inalillah dan salam takziah.

Innalillahiwainnailayhiraji’un. Salam takziah. Mesti rindu nak beli nasi kerabu,” komen netizen di Facebook.

Allahyarhamah Che Nah mencari rezeki dengan mengusahakan menu nasi campur, nasi kerabu dan nasi dagang di bawah nama Che Nah Nasi Dagang menggunakan lori bergerak di Jalan Setia Bakti Bukit Damansara.

Pada 4 Jun 2020, selepas 35 tahun berniaga tanpa lesen, beliau spontan sujud syukur di atas jalan kerana teruja dan berterima kasihnya atas inisiatif itu.

Semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman. Al-Fatihah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas