Berita

Ceramah Perdana, jadi pelengkap Program Ihya Ramadan Kamuse 1443H

MKT Kamuse bergambar kenangan bersama penceramah, Ustaz Abdullah Khairi di Surau Jumaat Nurul Hidayah, Kuchai Lama. MKT Kamuse bergambar kenangan bersama penceramah, Ustaz Abdullah Khairi di Surau Jumaat Nurul Hidayah, Kuchai Lama.
- Diterbit 26 April 2022 4:03 AM MYT

PELBAGAI aktiviti mengimarah Ramadan telah dilaksanakan oleh Kelab Anak Muda Seputeh (Kamuse) sepanjang April ini bagi merapatkan hubungan sesama masyarakat termasuk menganjurkan majlis ilmu dalam memberi kefahaman bermanfaat.

Terbaharu, penganjuran Ceramah Perdana Ramadan dengan tajuknya ‘Malam Terakhir Bersediakah Kita?’ hasil kerjasama Kamuse dan Surau Jumaat Nurul Hidayah, Kuchai Lama mendapat sambutan penduduk dari pelbagai peringkat umur.

Menampilkan penceramah terkenal Ustaz Abdullah Khairi, sesi ceramah berlangsung selama sejam menyajikan pelbagai cabang ilmu dikongsi bagi menambah baik amalan agama khususnya ibadah puasa Ramadan, selain mengimarah ajaran Islam.

SEBAHAGIAN daripada 20 anak yatim dan asnaf yang turut diraikan oleh Kamuse dalam Program Ceramah Perdana Ramadan.

Bagi Pengerusi Kamuse, Nur Hafies Wahid, tujuan utama membawa penceramah tular media sosial itu untuk menarik anak muda menyertai majlis ilmu serta mendekatkan diri dengan surau dan masjid sebagai satu institusi penggerak sosial bermanfaat.

“Selain berkongsi ilmu, Kamuse juga ingin jadikan program ini sebagai medan saling lengkapi serta kukuhkan ukhwah bersama penganjur selain pendokongnya Pengarah Program Thaqif Qareesh yang menjayakan program dengan baik sekali.

“Tidak dilupa Majlis Kerja Tertinggi Kamuse atas sokongan dan dokongan program ini. Terima kasih kepada Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Kuchai Entrepreneurs Park (RUPKEP), Rukun Tetangga KEP dan Surau Jumaat Nurul Hidayah dan lain-lain pihak turut sama menjayakan program,” katanya.

Sementara itu program yang sama Kamuse turut menyantuni 20 anak yatim dan asnaf dari lokaliti Muhibbah serta Kuchai Lama yang diraikan dengan pemberian duit raya sebelum program diakhiri jamuan moreh di Restoran Klasik Hijau sebagai menghargai khidmat warga yang bersama menjayakan Program Ihya Ramadan Kamuse kali ini. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas