Berita

CENDANA lancar program pendidikan seni

Cendana
MASZLEE (belakang, tengah) bergambar bersama murid-murid yang menyertai Program Pendidikan Seni CENDANA baru-baru ini.
- Diterbit 13 September 2019 10:29 AM MYT

SENI. Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan baru-baru ini melancarkan Program Pendidikan Seni CENDANA buat pelajar sekolah rendah awam.

Inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada golongan muda di negara ini untuk mempunyai akses terhadap pendidikan seni berkualiti dalam pembelajaran dan pembangunan sebagai langkah untuk membangunkan sektor seni budaya dalam industri kreatif negara.

Pelancaran yang disempurnakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menyaksikan pengenalan dua tonggak utama program iaitu Program #BASKL Lawatan Seni Sambil Belajar (AEX) dan Program Artis di Sekolah (AISP).

“Pendidikan seni mampu melahirkan rakyat Malaysia yang versatil di samping meningkatkan kreativiti dan merangsang aspirasi yang lebih besar. Kami mengalu-alukan penganjuran Program Pendidikan Seni CENDANA yang bertujuan memupuk daya imaginasi serta menggalakkan golongan muda mencipta kejayaan di sekolah dan seterusnya di alam pekerjaan kelak,” kata beliau.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas CENDANA, Izan Satrina Mohd. Sallehuddin berkata, program Pendidikan Seni ini merupakan sebahagian daripada cadangan dalam Laporan Kuala Lumpur sebagai Bandar Budaya dan Kreatif oleh CENDANA yang dilancarkan tahun lepas.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas