Artikel

Cemerlang 100 hari ikrar Shahidan

- Diterbit 10 September 2021 7:37 AM MYT

KHIDMAT cemerlang dalam 100 hari itu. Itu ikrar Menteri Wilayah Persekutuan (WP), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dalam mengharungi cabaran menggalas amanah menerajui Kementerian WP menggantikan Tan Sri TPr Annuar Musa.

Tempoh 100 hari menjadi penanda aras Shahidan untuk kemajuan WP dan warganya.

Bagi Adi, ikrar Shahidan ketika clock in pada hari pertama bertugas 30 Ogos lalu, menyerlahkan komitmen beliau meneruskan kecemerlangan WP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Beliau memberi jaminan meneruskan dasar sedia ada. Ertinya semua agenda yang disusun sebelum ini diteruskan, di samping pelaksanaan program-program baharu sesuai keperluan semasa.

Adi percaya ini strategi Shahidan untuk memastikan rentak pembangunan WP terus lancar.

Pada hemat Adi, ini satu pendekatan positif. Program-program baik yang telah disusun sebelum ini untuk kesejahteraan warga WP tidak harus diganggu. Jika perlu hanya buat penambahbaikan.

Pendekatan Shahidan ialah memastikan pembangunan tidak mengganggu keselesaan yang dinikmati oleh rakyat. Jika perlu penyesuaian atau ditambah baik, ia wajar dilakukan secara berfasa.

Beliau juga bertekad memperbaiki dan memperkemas perkhidmatan kepada warga WP, khususnya mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19 sehingga ramai hilang pekerjaan dan terputus sumber rezeki.

Kerana itulah dalam misi 100 harinya, Shahidan turut menekankan keperluan mewujudkan peluang pekerjaan bagi golongan sasar ini dalam suasana ekonomi negara yang mencabar.

Sehubungan itu beliau akan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak, terutama pihak yang selama ini banyak membantu menjayakan pelbagai program pembangunan di WP.

Kementerian WP sangat prihatin dengan mereka yang terkena tempias teruk COVID-19, khususnya golongan B40.

Bantuan makanan dan kewangan diberi untuk mengurangkan beban, terutama yang kehilangan kerja dan sumber pendapatan. Misalnya melalui program Inisiatif Wilayah Cakna.

Di samping itu, usaha juga dibuat untuk golongan ini menceburi perniagaan. Mereka dibimbing menjadi penjaja dan peniaga. Untuk itu, Kementerian WP menyediakan lebih 1,000 kios niaga dengan kadar sewa berpatutan, di dalam atau luar bangunan.

Program Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (IWBB) juga diperkenalkan mulai April 2020. Warga WP diberi peluang berniaga di tempat pilihan sendiri, menjual apa yang diingini.

Syaratnya perlu mendapat permit Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Program ini akan berterusan sehingga Disember ini.

Apabila Shahidan berazam mewujudkan peluang pekerjaan dalam tempoh 100 hari bertugas, Adi percaya salah satu fokusnya ialah membuka lebih banyak peluang untuk para penjaja dan peniaga kecil.

Adi berpendapat, ini boleh dilakukan dengan menambah kemudahan berniaga untuk mereka.

Misalnya jumlah lebih 1,000 kiosk yang diwujudkan oleh Annuar Musa sebelum ini ditambah. Lokasinya bergantung kepada budi bicara kementerian, sejajar dengan keperluan semasa.

Selain itu kembangkan program IWBB bagi membolehkan lebih ramai menyertainya.

Apabila tempoh program ini tamat pada Disember, sewajarnya ia disambung dan diteruskan. Program ini pernah disambung sebelum ini, bukti sambutan baik daripada mereka yang ingin berniaga.

Cuma yang perlu diberi perhatian ialah memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dan berminat diberi peluang, baik untuk program kiosk atau IWBB.

Bagi Adi, mereka yang tidak serius dan hanya sekadar mahu mendapat lesen dan kemudian menyewakannya untuk meraih untung atas angin, tidak perlu dilayan.

Sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam politik dan pentadbiran, Adi percaya Shahidan akan komited mencapai sasaran 100 hari bertugas dan juga sasaran jangka panjang sebagai Menteri WP.

Adi optimis bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Besar Perlis itu akan mampu memacu kejayaan WP dan keselesaan hidup warganya.

Apa jadi Perbadanan Air WP?

Tiada air lagi! Awal bulan ini sekali lagi berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 463 kawasan di lima daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya.

Puncanya Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihentikan operasi akibat pencemaran bau.

Kawasan yang terlibat di Selangor ialah di daerah Petaling (172); Hulu Langat (54), Sepang (194), dan Kuala Langat (20). Di WP Putrajaya sebanyak 23 kawasan terlibat.

Sekali pun gangguan kali ini tidak lama, isunya gangguan bekalan air tetap berterusan.

Gangguan bekalan sama ada berjadual, apatah lagi tanpa jadual, memang sangat menyusahkan pengguna, mengganggu aktiviti seharian. Malah ia juga menjejaskan kegiatan ekonomi.

Setiap kali gangguan, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya pasti terkena tempias kerana kedua-duanya mendapat bekalan daripada Air Selangor. Kali ini gangguan di WP bertumpu di pusat pentadbiran negara.

Kerana itu Adi ingin tahu apa sudah jadi dengan perancangan mewujudkan pengurusan air sendiri untuk Wilayah Persekutuan melalui Perbadanan Air Wilayah Persekutuan (PAWP)? Masih ia berada pada landasan atau sudah tergelincir?

Cadangan penubuhan PAWP dicetuskan oleh mantan Menteri WP, Tan Sri TPr Annuar Musa, yang mahu melihat WP mempunyai perbadanan air sendiri tanpa terlalu bergantung kepada Selangor.

Langkah ini untuk memastikan jika berlaku gangguan melibatkan Air Selangor, WP tidak terjejas. Sudah terlalu lama WP bergantung kepada Air Selangor.

Jika berlaku gangguan bekalan air sudah pasti WP tidak dapat lari daripada sama menanggung akibat.

Perbadanan Air WP akan membolehkan WP memiliki dan menguruskan bekalan air sendiri, sekali gus meletakkannya setara dengan negeri-negeri lain yang memiliki perbadanan air masing-masing.

Oleh itu Adi berharap cetusan idea Annuar Musa ini tidak dibiarkan tersimpan lama tetapi diusahakan sehingga berjaya. Adi percaya penggantinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim akan meneliti perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya agar PAWP segera menjadi kenyataan.

Kewujudannya kelak bukan sahaja menjadi kebanggaan warga WP tetapi juga menjadi bukti WP mampu berdikari dalam aspek pengurusan dan pembekalan air, terutama bagi Kuala Lumpur sebagai nadi ekonomi negara dan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Persekutuan.

Malah sebenarnya jika WP mempunyai bekalan air sendiri, ia juga boleh menjadi ‘pembantu’ seandainya berlaku apa-apa masalah kepada bekalan Air Selangor.

Sekurangnya-kurangnya ia boleh menyalurkan bantuan air ke kawasan di Lembah Klang.

Kerana itu Adi berharap PAWP akan segera dijelmakan. Mungkin ia mengambil masa tetapi yang penting dimulakan.

Langkah permulaan itulah yang akan membolehkan matlamat akhir dicapai. – WILAYAHKU –

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas