Selebriti

Cegah bunuh diri… “Ambil tahu emosi rakan-rakan” – Sarimah Ibrahim

- Diterbit 20 September 2021 10:30 PM MYT

PENINGKATAN kes bunuh diri dan masalah mental dalam kalangan masyarakat semakin membimbangkan.

Atas rasa tanggungjawab, penyanyi Che Puan Sarimah Ibrahim,43, dan Damian kini muncul dengan lagu Harapan yang liriknya boleh membangkitkan semangat mereka yang sedang tertekan.

“Projek ini bermula dengan perbincangan santai bersama ‘orang kuat’ Program AWAS (Awareness Againts Suicide) Malaysia di bawah Yayasan Zuriatcare.

“Akhirnya diputuskan medium lagu dirasakan kaedah paling kuat yang boleh meresap jiwa pendengar.

“Lagu dan video muzik Harapan ini telah dilancarkan 10 September lalu sempena Hari Kesedaran Bunuh Diri Sedunia.

“Lirik Harapan masih berkisar kesakitan tetapi berpegang kepada harapan. Masih ada hari esok dan dan jangan putus asa.

“Tanpa kesihatan mental, tiada kesihatan rakyat dan negara. Kita tidak boleh menafikan bahawa lagu Harapan merupakan salah satu elemen penting bagi mereka yang sedang melalui fasa penyembuhan dalam kehidupan.

“Justeru, ambil tahu dan ambil berat tentang perasaan dan keadaan emosi rakan-rakan, ahli keluarga dan jiran kita supaya kita sama-sama dapat membantu dan mencegah terjadinya sesuatu yang akan dikesali dan lebih menyedihkan kelak.”

Sebelum ini, Sarimah yang menjadi pengasas bersama dan Duta Kempen #StandForHope sering terbabit dalam program kesedaran kesihatan mental.

“Saya banyak memberi sokongan terhadap aktiviti masalah mental sejak dua tahun lalu. Saya muncul dalam program bual bicara, menjadi ahli panel dan membuat lintas langsung dalam media sosial.

“Saya terfikir bagaimana cara menyentuh hati khalayak mengenai isu ini. Akhirnya, dapat idea untuk mencipta lagu yang memberi penerangan selain menyentuh hati mengenai topik bunuh diri,” katanya lagi.

Kita sedia maklum sepanjang pandemik COVID-19 melanda Malaysia sejak Mac 2020, kes kematian akibat bunuh diri semakin meningkat.

AWAS menyokong usaha kerajaan yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu ini.

AWAS juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar turut bersama-sama memainkan peranan dalam memupuk kesedaran terhadap gejala bunuh diri dan memberi bantuan terhadap mereka yang terkesan akibat perilaku bunuh diri.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas