Berita

Cabutan Kerja Undi Bil 3 tawar 62 kerja bernilai RM4.5 juta

ROSIDA (dua kanan) menyempurnakan Majlis Cabutan Kerja Undi Bil 3 yang diadakan di Dewan Seri Siantan, PPj.
- Diterbit 5 November 2022 7:00 AM MYT

MAJLIS Cabutan Kerja Undi kali ketiga yang dianjurkan baru-baru ini menawarkan sebanyak 62 kerja dengan anggaran nilai perolehan sebanyak RM4.5 juta.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata setiap tahun sejumlah dana diperuntukkan bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan di seluruh Putrajaya.

“Ia termasuk pelaksanaan perolehan kerja-kerja requisition, iaitu kerja-kerja kecil atau pembaikan yang tidak mengubah struktur asal bangunan. PPj menganggarkan lebih 300 kerja-kerja kecil dicadang untuk dilaksanakan pada tahun ini yang melibatkan peruntukan berjumlah RM9 juta.

“Majlis Cabutan Kerja Undi ini merupakan kali ketiga dianjurkan susulan Cabutan Kerja Undi Bil 1 & 2 pada 29 Mac dan 26 Julai 2022 yang melibatkan anggaran nilai perolehan berjumlah RM2.3 juta bersamaan dengan 72 jumlah kerja,” kata beliau.

Tambah beliau, antara objektif penganjuran Majlis Cabutan Kerja Undi ini adalah bagi mempercepatkan pelaksanaan kerja-kerja kecil selain membantu kontraktor-kontraktor bumiputera kelas G1 di Wilayah Persekutuan Putrajaya menjana semula ekonomi yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

Menjelaskan berkenaan pelaksanaan kerja undi, Fadlun berkata PPj masih mengambil pendekatan sejajar dengan tatacara perolehan semasa.

“Bagi pelaksanaan kerja undi ini, PPj masih mengambil pendekatan sejajar dengan tatacara perolehan semasa di mana kerja undi yang ditawarkan bernilai RM100 ribu dan ke bawah. Pengagihan kontrak kerja melalui kaedah ini juga dilihat sebagai lebih telus dan saksama selain berpotensi merancakkan semula rantaian ekonomi yang terhasil daripada aktiviti infrastruktur dan pembinaan,” ujar beliau menjelaskan bagi memastikan ketelusan proses cabutan kerja undi, pemerhati dari Persatuan Kontraktor Bumiputra Malaysia, Jabatan Audit Dalam, PPj dan Unit Integriti, PPj telah dijemput.

Dalam pada itu, Fadlun mengharapkan peluang ini dapat digunakan sebaiknya oleh kontraktor-kontraktor yang terpilih.

“PPj berharap kontraktor Putrajaya yang berjaya menggunakan peluang ini untuk lebih maju ke hadapan dengan mempamerkan prestasi terbaik. PPj dan pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sentiasa komited dan beriltizam dalam memastikan kekayaan dalam sektor pembinaan dapat diagihkan secara adil dan saksama,” kata beliau.

Terdahulu, Majlis Cabutan Kerja Undi PPj diadakan pada 31 Oktober 2022 di Dewan Seri Siantan, Kompleks PPj, Presint 3, Putrajaya dan turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar serta pengurusan tertinggi PPj. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas