Selebriti

CABARAN LATHI pemujaan atau seni?

||||
- Diterbit 21 Jun 2020 3:15 AM MYT

KEGILAAN baharu ‘Lathi Challenge’ atau ‘Cabaran Lathi’ semakin tular di laman sosial. Maka timbul pelbagai pendapat positif dan negatif berkenaan isu ini.

Apa itu cabaran Lathi? Ia adalah satu cabaran di mana seseorang itu mengenakan solekan, kemudian menari tarian tradisional mengikut rentak lagu, dan secara tiba-tiba solekan itu bertukar menjadi solekan yang menyeramkan.

Mereka yang pada asalnya berupa paras elok, bertukar karakter seumpama hantu atau puaka. Ada sesetengah agamawan menganggap cabaran Lathi ini adalah haram di sisi syarak kerana terdapat unsur-unsur pemujaan.

Dalam masa sama, ada yang melihat Cabaran Lathi ini sebagai seni mekap yang hebat. Jadi, Cabaran Lathi ini satu pemujaan atau seni?

“Ada baik dan buruknya” – ZARA ZYA

ZARA ZYA berpendapat video Cabaran Lathi itu ada baik dan buruknya. Semuanya terserah kepada mereka yang melihat untuk menilai.

“Bila tengok video tu memang menakutkan, sebab saya ni penakut. Cuma saya rasa itu hanya untuk suka-suka.

“Kalau kita fikir positif, maka positiflah ia. Kadang-kadang apa yang tular ini ada baik dan buruknya.

“Bagi saya, Cabaran Lathi ini hanya untuk keseronokan. Ini kerana saya tidaklah terlalu mendalami video tersebut.

“Saya pun tidak tahu sama ada lagu atau bacaan dalam video tu sejenis pemujaan atau bukan. Kalau betul ada unsur pemujaan tak baguslah. Jika ternyata ia negatif, tak payahlah buat cabaran tu.

“Apa yang saya boleh cakap, orang yang buat video tu, dapat kita lihat usahanya memang hebat. Video macam tu bukan senang nak buat. Nak buat mekap tutorial pun saya tak lulus, apatah lagi mekap dalam cabaran Lathi tu,” seloroh Zara Zya yang kini mengusahakan Zara Zya Cook Restaurant di Setia Alam, Shah Alam, Selangor.

“Jangan sampai terpesong akidah” – RIZ AMIN

BINTANG drama bersiri Korban Kasih, Riz Amin berkata baik atau buruk Cabaran Lathi itu bergantung kepada kita semua.

“Ia adalah hiburan. Namun, kalau ada individu menganggap cabaran itu sesuatu yang salah, maka jangan buat cabaran tersebut.

“Apa pun yang kita buat, paling penting adalah niat kita sendiri terhadap apa yang kita lakukan.

“Cuma, sebagai orang Islam, wajib kita hindarkan sesuatu yang boleh mengganggu akidah kita. Apa pun yang dilakukan, jangan sampai terpesong akidah,” luah Riz Amin yang akan menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Hati Yang Tersakiti untuk siaran TV3.

“Ada unsur pemujaan” – SYAFIQ FARHAIN

BAGI pelantun lagu Sakit Hati, Syafiq Farhain, Cabaran Lathi ini mempunyai unsur-unsur pemujaan.

“Bagi saya, Cabaran Lathi ini adalah suatu seni mekap yang tidak semua orang boleh buat. Namun cara yang dipersembahkan tidak sesuai.

“Muzik dan tariannya seolah-olah mempunyai unsur pemujaan. Jadi ia tidak elok, lebih-lebih lagi kita sebagai orang Islam.

“Saya tahu ia seni, tapi cara persembahan kalau boleh diubah sedikit mungkin dengan menjauhi unsur-unsur pemujaan,” luah Syafiq Farhain yang merupakan anak kepada Allahyarham penyanyi Saleem.

“Hiburan semata-mata” – NAD ZAINAL

PELAKON Nad Zainal pula mengakui sangat mengagumi hasil mekap dalam Cabaran Lathi dan lebih selesa menganggapnya sebagai hiburan sahaja.

“Saya anggap ia sebagai salah satu cara untuk mempertontonkan karya mekap seseorang yang menyahut cabaran ini.

“Lihat saja mekap yang digunakan, sangat hebat dan bukan semua orang boleh melakukan karya sebegitu.

“Tentang isu pemujaan atau yang lain-lain, saya kurang arif. Ini kerana saya menganggap Lathi Challenge ini sebagai hiburan semata-mata. Tidak lebih daripada itu,” luah Nad Zainal yang bakal muncul dalam drama bersiri Luluh lakonannya bersama Izzue Islam, Aeril Zafrel dan Ummi Nazeera.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas