Berita

Cabaran buat Malaysia tangani ribuan pekerja dari Singapura mahu pulang

KEADAAN rakyat Malaysia yang baru pulang dari Singapura di Tambak Johor baru-baru ini. Foto Facebook Muhd. Azran Malek
- Diterbit 8 April 2020 9:39 AM MYT

PUTRAJAYA – Kepulangan ribuan rakyat Malaysia dari Singapura menggusarkan kerajaan.

Pertama dari segi kemampuan untuk membuat saringan dan keduanya, hanya pemeriksaan biasa dilakukan ke atas mereka sebelum pulang ke tanah air.

Kerajaan Malaysia kalau boleh mahu mereka kekal berada di republik itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru Malaysia mahu mendapatkan laporan jumlah sebenar warganya yang bekerja di Singapura pulang ke negara ini bagi memudahkan pengawasan dan mengekang penularan penyakit Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, maklumat tersebut akan diperolehi menerusi perbincangan dua hala antara Kementerian Sumber Manusia kedua-dua negara.

“Ini berikutan semua yang pulang akan melaporkan kepada majikan mereka.

“Data itu bagi memudahkan perancangan, mungkin tidak boleh pulang serentak seramai 5,000 atau 10,000 sehari yang akan menyukarkan saringan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Menurut beliau, ujian pengesanan lebih ketat akan dilakukan terhadap mereka ini bagi memastikan bebas daripada jangkitan Covid-19.

Ujarnya, langkah itu susulan prosedur standard operasi (SOP) Singapura yang mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (SOP) tidak menjalankan ujian pengesanan kepada mereka yang tidak mempunyai gejala Covid-19.

“Mereka yang pulang telah diberikan surat pelepasan dengan dinyatakan telah bebas Covid-19 kerana hanya melakukan saringan biasa sahaja.

“Namun, kita tidak berpuas hati dan berbincang dengan kerajaan Singapura supaya rakyat terus tinggal di sana dan menanggung tempat tinggal dan elaun harian makanan dan minuman.

“Saya telah memaklumkan dengan rakan sejawat di Singapura. Namun, Singapura tidak berhak sekat rakyat untuk pulang dan laporan mengenai jumlah warga Malaysia pulang dari majikan mereka amat penting,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas