Berita

Cabar diri dengan tonton empat filem seram ini di Netflix

|||||
- Diterbit 11 Julai 2021 2:00 AM MYT

FILEM atau drama yang mempunyai genre seram sering mendapat perhatian ramai berbanding filem atau drama berbentuk romantik yang sering kali dilihat mempunyai jalan cerita yang sama.

Ada di antara kita yang gemar menonton filem seram, walaupun takut. Bagi mereka, filem seram seakan satu terapi yang boleh melepaskan segala tekanan yang dialami. Filem seram atau juga dipanggil sebagai filem thriller merupakan filem yang boleh menimbulkan rasa takut, terkejut dalam masa yang sama rasa teruja dan tertanyatanya dalam diri penonton.

Untuk mereka yang gemarkan genre ini, Wilayahku menyenaraikan empat cadangan filem seram yang boleh anda tonton pada hujung minggu ini di Netflix yang pasti boleh membuatkan anda tidak senang duduk.

#1 The 8th Night

Pengarah: Kim Tae-Hyung
Pelakon: Lee Sung-Min, Nam Da-Reum, Kim Yoo-Jung

KISAH The 8th Night bermula kira-kira 2,500 tahun yang lalu ketika seekor raksasa membuka pintu neraka untuk membawa penderitaan kepada manusia. Buddha muncul menghadapnya dengan mengambil dua mata yang berwarna merah dan hitam. Mata ini adalah sumber kekuatan raksasa. Merah dan hitam dipisahkan agar tidak bersatu dan membawa neraka di Bumi. Satu tersembunyi di padang pasir yang luas di hujung barat. Sementara yang lain disimpan di tebing curam di hujung timur. Pada malam Bulan Merah, meterai itu pecah dan mata merah dilepaskan. Serangkaian kematian misteri berlaku ketika mata merah yang menyeramkan cuba menghidupkan kembali dan mencari mata hitam. Perjalanan itu berlangsung selama tujuh hari. Ketika merah dan hitam bersatu pada malam kelapan, dunia akan menjadi seperti neraka yang penuh dengan kegelapan dan penderitaan manusia. Park Jin Soo (Lee Sung-Min) yang merupakan bekas sami adalah pelindung yang dipilih. Dia berusaha untuk mengelakkan raksasa yang hebat itu naik. Dalam usaha ini, Park Jin-Soo bertemu dengan Kim Ho-Tae (Park Hae-Joon), seorang detektif Unit Jenayah Kekerasan yang membantu mengesankan syaitan dan menambahkan rasa curiga terhadap kisah itu. Turut dibintangi pelakon Kim YooJung sebagai Aeran, watak misteri tetapi kunci untuk membongkar misteri dan menyelesaikan masalah.

#2 Ghost Lab

Pengarah: Paween Purijitpanya
Pelakon: Tor Thanapob, Ice Paris

MENGISAHKAN tentang dua orang doktor, Wee dan Gla yang mempunyai pandangan berbeza mengenai dunia ghaib. Setelah penampakan hantu di hospital mereka bekerja, dua doktor muda ini mula obses dengan kajian bagi membuktikan kewujudan hantu. Mereka berusaha mencari bukti saintifik, bagaimana dan mengapa ia muncul. Gla begitu obses sehingga dia hampir membahayakan pesakitnya dan kehilangan pekerjaannya. Pada mulanya filem ini agak ringan dengan hanya ingin membuktikan keberadaan roh mereka yang telah meninggal dunia. Tetapi kisahnya mulai menjadi gelap apabila Wee sukarela untuk membunuh diri dan kembali sebagai objek penyelidikan Gla. Menggabungkan konsep perubatan moden dan juga teori paranormal boleh dikatakan perkara yang agak menarik. Antara perkara lain yang dapat dipuji adalah fakta perubatan yang ditampilkan dalam filem ini juga tepat sepertimana yang ada dalam jurnal jurnal fakta perubatan meskipun filem ini bukan sepenuhnya berasaskan perubatan. Ghost Lab boleh menjadi pilihan tontonan jika anda peminat filem seram yang menggabungkan elemen jumpscare dengan drama. Pengakhirannya yang melibatkan mainan emosi juga mungkin mampu menggamit minat sesetengah penonton.

#3 Roh

Pengarah: Emir Ezwan
Pelakon: Namron, June Lojong, Harith Haziq

DIINSPIRASIKAN daripada filem klasik Jepun berjudul ‘Onibaba’, filem Roh mula ditayangkan pada 6 Ogos 2020. Berlatarbelakangkan zaman dahulu kala, sebuah keluarga daif yang menetap di pinggir hutan didatangi seorang kanakkanak perempuan misteri yang memberi sebuah ramalan ngeri iaitu “Bila Bulan Mengambang, Kau semua akan Mati”. Pelbagai peristiwa mistik dan seram berlaku apabila yang haq dan batil bertembung. Antara filem Melayu yang mempunyai kualiti meskipun permulaan cerita yang sedikit mendatar dan perlahan. Ianya bagi membolehkan penonton berfikir dan merenung tentang mesej yang ingin disampaikan dan gambaran keseluruhan filem ini. Pengarah juga ingin perlahan-lahan membawa penonton untuk merasai ketakutan yang dihadapi oleh keluarga watak utama. Kekuatan Roh juga terletak pada barisan pelakon yang mantap serta sinematografinya memukau mata berjaya membawa penonton kembali pada tahun 90-an, malahan runut bunyi filem ini berjaya membangkitkan suasana yang cukup seram, seiring dengan ceritanya. Anda pasti akan merasakan filem seram ini berbeza dari kebiasaan mana-mana filem seram.

#4 Silam

Pengarah: Jose Poernomo
Pelakon: Zidane Khalid, Nova Eliza, Surya Saputra

APA yang berlaku sekiranya seorang kanak-kanak dapat melihat perkara yang tidak dapat dilihatnya sebelumnya? Ini membuat dia melalui pengalaman yang berbeza dan membongkar perkara yang tidak dia ketahui sebelumnya. Silam mengisahkan seorang budak bernama Baskara yang lari dari rumah akibat sering dimarahi oleh ibunya tanpa sebab yang kukuh. Baskara mengambil keputusan untuk lari ke rumah pakciknya yang merupakan kembar kepada arwah ayahnya bernama Anton. Baskara merancang untuk pergi ke sana selepas balik dari lawatan muzium bersama rakan sekelasnya. Di muzium, Baskara dikunci oleh kawan-kawan sekelas di dalam sebuah bilik kemudiannya terhentak di lantai. Akibat hentakan kuat tersebut, deria keenam Baskara mula aktif dan dia sering diganggu ke mana sahaja dia pergi. Tiba di rumah Anton, Baskara disambut baik dan melihat keluarga pakciknya yang harmoni itu membuatkan Baskara nekad untuk terus kekal tinggal di situ. Disangkakan panas berpanjangan, rupanya gerimis disiang hari. Keluarga yang disangkakan aman damai itu mempunyai sejarah tersendiri apabila Baskara sering melihat keluarga ini mengamalkan ritual yang misteri. Kehadiran Irina banyak membantu Baskara melawan ketakutan dan tahu apa sebenarnya yang terjadi dalam rumah tersebut sebab Nenek Irina adalah dukun di kawasan tu. Dengan bantuan Irina dan neneknya, Baskara mula berjaya mencari jawapan untuk keanehan yang dijumpainya bukan hanya di rumah Anton tetapi rumahnya sendiri juga. Dengan misteri yang disimpan sehingga ke hujung cerita membuatkan penonton mahu kekal di hadapan screen untuk merungkai misteri di sebalik sixth sense yang dimilik Baskara. -WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas