Berita

Buruh Myanmar mengaku tidak bersalah rasuah polis

- Diterbit 27 Ogos 2020 7:48 AM MYT

SEORANG buruh binaan warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi suapan wang tunai kepada anggota polis minggu lepas.

Tertuduh, Zainal Hussein Shuna Ali, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Myanmar di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Dia didakwa cuba memberi suapan sebanyak RM3,000 kepada Sarjan Mohd Shahrul Ashraf Shakri di bilik pintu 3, Tingkat 2 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada 12 tengah hari, 19 Ogos lepas.

Suapan itu sebagai dorongan bagi melepaskan isterinya yang ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.

Tertuduh yang diwakili peguam Datuk Zaharman Zainal Abidin didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana dia seorang warga asing yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Mohd Ghazali menetapkan 24 Sept untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas