Utama

Bung Moktar ulas pertukaran portfolio dalam Kabinet Sabah

- Diterbit 29 September 2020 3:11 AM MYT

PERTUKARAN  portfolio dalam kabinet di negeri ini adalah mengikut kesesuaian dan tiada masalah untuk melaksanakannya, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata perubahan portfolio itu bukan sebuah isu besar, sebaliknya cuma sedikit salah faham antara rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah.

“Perubahan boleh berlaku ikut kesesuaian…tiada masalah,” katanya menjawab ringkas tentang perubahan portfolio menteri dipegangnya pada sidang media di kediamannya di Luyang hari ini.

Pada Istiadat Angkat Sumpah Ketua Menteri Sabah Ke-16 di Istana Negeri Sabah pagi tadi, Bung Moktar juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah diumumkan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Bagaimanapun pada sidang media petang ini, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor juga Pengerusi Perikatan Nasional Sabah mengumumkan Bung Moktar sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Kerja Raya.

Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Datuk Masidi Manjun yang sebelum ini diumumkan sebagai Menteri Kerja Raya pada istiadat pagi tadi, diumumkan Hajiji sebagai Menteri Kewangan II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan petang ini.

Bung Moktar berkata kerajaan baharu daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah ditubuhkan dengan sebilangan lagi menteri akan dilantik dalam masa terdekat.

“Sekarang kita gembira dan kita adalah sebahagian dalam kerajaan yang telah dibentuk, apa yang penting adalah tanggungjawab kita untuk berkhidmat untuk rakyat, ia adalah fokus utama kita.

“Kita yakin kita mempunyai cukup jumlah kerusi, dan kita akan bekerjasama dan saya sangat yakin kerajaan baharu Sabah akan bertahan lama,” katanya.- BERNAMA

—————————————————————

Bung Moktar angkat sumpah TKM1 Sabah

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri pagi ini.

Selain Timbalan Ketua Menteri 1, Bung juga memegang patfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Beliau mengangkat sumpah selepas Ketua Menteri Sabah yang baharu Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

Timbalan Ketua Menteri dua adalah Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan angkat sumpah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang turut dilantik Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah

Manakala Timbalan Ketua Menteri 3 Naib Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam angkat sumpah Timbalan Ketua Menteri Sabah  yang turut dilantik Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah

Datuk Masidi Manjun angkat sumpah Menteri Kerja Raya Sabah

Datuk Jahid Jahim angkat sumpah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah. – WILAYAHKU

BERITA LANJUT MENYUSUL

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas