Atlet Wilayah

Bukan sekadar sukan rekreasi

NAZRIN ketika menyertai kejohanan di Belfast, Ireland.
- Diterbit 7 Mei 2021 9:11 AM MYT

PELUANG terpilih menyertai Kejohanan Sukan Asia 2018 di Palembang dalam acara kanu slalom tiga tahun lalu membuahkan semangat Mohamad Nazrin Najib, 20, untuk terus aktif memburu kejayaan.

Malah pengalaman yang dikutip sepanjang kejohanan tersebut banyak membuka matanya untuk memperbaiki kelemahan dalam acara sukan yang diminatinya itu.

“Terasa seperti terlalu banyak perbezaan prestasi berbanding atlet di luar ­negara dari segi latihan itu sendiri. Ini kerana di Malaysia, kita tidak memiliki sungai khas untuk menjalani latihan.

“Di luar negara misalnya, mereka mempunyai sungai tiruan yang lengkap untuk tujuan latihan mahupun kejohanan. Disebabkan itu, para atlet luar lebih bersedia untuk menghadapi cabaran,” ujarnya.

Turut aktif dalam acara kanu polo dan sprint, Nazrin berpendapat, sukan kayak di Malaysia perlu diberi pendedahan yang lebih meluas agar masyarakat tahu dan faham tentang sukan tersebut.

“Rata-rata masyarakat hanya tahu kayak adalah sukan rekreasi yang ada di tasik tumpuan awam sedangkan sukan ini luas dan terbahagi kepada acara lasak, sungai, perlumbaan dan sebagainya,” ujar pelajar Diploma Pengajian Sukan, Universiti Teknologi Mara ini.

Tambahnya lagi, seharusnya kanak-kanak juga perlu diberi pendedahan tentang sukan tersebut agar mereka ­berminat sekali gus dalam usaha mencari atlet pelapis di masa hadapan.

“Sukan ini mempunyai masa depan yang cerah dan ia ­amat popular di luar ­negara. Jika adanya pendedahan yang lebih sistematik maka tidak mustahil kanu akan menjadi salah satu sukan teras di ­negara kita ­suatu hari nanti,” ujar atlet ini lagi.

Beralih kepada situasi semasa pula, anak tunggal ini berkata, buat masa ini tiada kejohanan yang dijadualkan berlangsung memandangkan dunia masih bertarung dengan wabak COVID-19.

“Insya-Allah saya akan bertanding dalam SUKMA pada tahun hadapan. Itu ­merupakan penyertaan ­pertama saya dalam kejohanan tersebut sejak lima tahun aktif dalam sukan kanu,” katanya lepada Wilayahku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas