Personaliti

‘Bukan lawan lelaki, tetapi saling melengkapi’ – Shahaniza

||
- Diterbit 9 Mac 2023 10:38 AM MYT

DALAM sejarah perjuangan Islam sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w dan para Khulafa Ar-Rasyiddin, ramai tokoh wanita yang hebat dalam kepimpinan.

Sebagai contoh hebat, isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Sayidatina Khadijah dan Sayidatina Aisyah menjadi inspirasi kepada para pemimpin wanita hari ini.

Begitulah semangat yang dibawa Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang mencalonkan diri untuk bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan MKT UMNO akan diadakan di seluruh negara pada 18 Mac 2023.

Justeru, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul itu berkata, beliau tidak melihat isu ‘gender’ sebagai persaingan sebaliknya menilai bersandarkan kredibiliti individu.

“Bukan kita melawan orang lelaki. Kita kena ingat, kita tidak bersaing lelaki tetapi saling melengkapi. Tak ramai pun daripada 95 calon, tujuh wanita dan kalau boleh pilih semua mempunyai keistimewaan sendiri. Tetapi apa pun undi saya calon nombor 50.

“Saya kira ketujuh-tujuh calon wanita yang menawarkan diri memiliki kekuatan dan kelebihan masing-masing yang boleh memberi kelebihan kepada UMNO sekiranya mereka terpilih sebagai MKT dan mereka boleh jadi ‘team player’ yang baik kerana kita tahu wanita ini sifat semula jadinya adalah mereka setia kepada parti.

“Yang keduanya kita tahu pemimpin wanita ini kita tahu memang komited dan buat kerja bersungguh-sungguh, akan pastikan ia menjadi menjadi dan berjaya,” ujarnya.

Shahaniza turut menyifatkan, kepimpinan lelaki memilih kriteria calon individu itu berdasarkan kredibiliti bukannya gender.

“Jadi kita walaupun sebagai seorang wanita, apabila menawarkan diri bermain di gelanggang pemimpin lelaki, kita mesti meletakkan merit diri kita juga setanding dengan mereka.

“Malah mungkin lebih baik daripada mereka. Trend perwakilan lelaki, mereka menilai kita dari sudut itu dan bukannya menilai kerana kasihan pilih calon wanita atau tak beri wanita sebab dia wanita,” katanya.

KETUA Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Ketika ditanya mengenai peluang untuk menang dalam jawatan MKT sebagai wakil calon wanita, beliau optimis untuk terpilih memegang salah satu jawatan.

“Saya juga merasakan peluang kepada ketujuh calon wanita yang menawarkan diri itu juga mempunyai peluang yang cerah untuk mereka diterima.

“Saya kira UMNO juga memerlukan bukan sahaja idea dan pandangan daripada golongan wanita, tetapi gerak kerja bersama dengan pemimpin wanita dari segi gender,” katanya.

Dalam pada itu, Shaniza akui mengambil inspirasi daripada dua tokoh wanita arwah Tan Sri Aishah Ghani dan Raden Adjeng Kartini dari Indonesia.

“Mungkin awak boleh quote hari ini (Rabu) sempena Hari Wanita, saya teringat dua tokoh wanita yang menyebut.

“Untuk wanita, untuk dibesarkan dalam politik dan untuk naik dalam politik mesti diterima oleh lelaki.

“Itu kata-kata Aishah Ghani yang beri impak kepada saya.

“Yang kedua tokoh wanita bangsa Indonesia, Raden Adjeng Kartini, iaitu kita tidak berlawan dengan lelaki kerana gender, bukan melawan kaum lelaki tetapi melawan pemikiran yang kolot dan adat usang,” katanya kepada media. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas