Berita

Bukan kali pertama terhempas

MOHD.-YUSOFF-kiri-bersama-Blok-C-PPR-Kerinchi-melihat-lif-yang-tidak-boleh-digunakan-selepas-insiden-lif-terhempas-baru-baru-ini
PENDUDUK Blok C PPR Kerinchi melihat lif yang tidak boleh digunakan selepas insiden lif terhempas baru-baru ini.
- Diterbit 9 Ogos 2019 9:14 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Kejadian lif terhempas yang berlaku di Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini baru-baru ini menyebabkan penduduk khususnya warga emas berasa takut dan fobia untuk menaiki lif.

Malah ekoran insiden tersebut, warga emas, P. Alagama, 62, sanggup menggunakan tangga untuk ke rumah­nya di tingkat 7 jika hanya bersendirian menunggu lif.

Menurutnya, kejadian lif tersekat sering berlaku selain pintunya yang sukar ditutup sehingga penduduk terpaksa menolaknya menggunakan tangan.

“Sepanjang 12 tahun saya tinggal di sini, sudah tiga kali lif tersangkut dan pintunya sukar ditutup. Kadang­kadang saya akan menggunakan tangga untuk ke rumah jika tiada penduduk lain yang ingin naik lif,” katanya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk, Halimatul Saadiah Mohd. Saleh, 59, berkata, dia pernah terperangkap di dalam lif hampir 30 minit selepas salah seorang pengguna ke­luar di tingkat 11.

Katanya, kejadian tersebut amat mengejutkan kerana sering melihat lif tersebut diselenggara.

Pekerja swasta, Zainudin Baharudin, 33, pula menceritakan, pengalaman terhempas bersama isteri tiga tahun lalu menyebabkannya sentiasa berhati-hati sebelum menaiki lif.

“Dua kali lif terhempas semasa saya berada di dalamnya. Kali pertama semasa 2014 dan kali kedua pada 2016.

“Pada masa itu, saya bersama isteri dan tiga orang lagi penduduk menaiki lif. Tiba-tiba lif tidak berfungsi dan kami semua terhempas dari tingkat 3, keadaan itu menyebabkan isteri saya mengalami sakit lutut sehingga sekarang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Blok C, PPR Kerinchi, Mohd. Yusoff Ibrahim berharap ketiga­tiga lif yang di blok berkenaan dapat diganti baharu berikutan sudah lama digunakan iaitu sejak 2007.

Ujarnya, walaupun sering diselenggara, lif tersebut sudah berusia dan mempunyai banyak masalah serta tidak selamat digunakan tambahan pula bilangan penduduk hampir 1,600 orang.

Terdahulu Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad ketika ditemui menegaskan, semua lif di ibu negara khususnya di bangunan bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu diperiksa bagi mengelakkan kejadian lif terhempas berulang.

“Bila berlaku di PPR Kerinchi, maka semua lif yang seusianya perlu diperiksa supaya kejadian seumpama itu tidak berulang. Hanya dalam kes ini kita kena kenal pasti apa masalah yang sebenar,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas